Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Dalam institusi keluarga, ibu memainkan peranan yang penting. Ibaratnya, ibu merupakan madrasah atau sekolah yang pertama bagi anak-anak dan bapa sebagai mudir atau pengetua. Ibulah yang menjadi guru pertama untuk mengenal Allah dan Nabi. Ibu yang mengajar anak mengenal dan menyebut huruf, perkataan dan pertuturan. Ibu juga membesarkan dan merawat anak-anak dengan penuh kasih sayang. Kasih ibu tiada galang ganti dan membawa ke syurga. Tangan yang menghayunkan buaian mampu menggegarkan dunia dengan hasil hayunannya. Begitu besar jasa ibu dalam menguruskan rumahtangga dan kemenjadian anak-anak.
Apa yang menyedihkan dalam masyarakat kini, jasa ibu seringkali dilupakan. Ibu tidak dihormati dan disayangi oleh anak-anak, malah dalam sesetengah kes ibu mengalami pengabaian dan penderaan. Terdapat anak yang tergamak menjadikan ibunya umpama orang gaji dan pembantu rumah. Ada anak yang membuang ibunya kerana tidak sanggup menjaga lagi. Ibu yang telah tua dan uzur dianggap sebagai tidak berguna dan membebankan. Selain itu, ada ibu yang ditempatkan dan dibiarkan terus tanpa bertanya khabar di tempat penjagaan warga emas. Bagi anak-anak yang berkerjaya, kesibukan dengan rutin harian dan keluarga mereka menyebabkan ibu diabaikan. Mereka tiada masa untuk menjaga atau menziarahi ibu di kampung halaman.
Pada dasarnya, kisah pengabaian dan perderhakaan terhadap ibu bukanlah isu yang baharu atau bersifat setempat, bahkan ia telah berlaku dari zaman ke zaman dalam kalangan pelbagai masyarakat dunia. Dalam kisah popular masyarakat Melayu, Si Tanggang digambarkan sebagai anak derhaka kerana tidak memperakui ibu bapanya, dan kisah batu belah batu bertangkup sebagai kisah ibu yang berkecil hati lantaran sikap anak-anak yang pentingkan diri. Tetapi lebih sadis dalam tradisi masyarakat Jepun, mereka akan membawa ibu yang tua ke hutan untuk dibuang. Ia dikenali sebagai tradisi Ubasute. Begitu juga dalam kes yang dilaporkan di Tamil Nadu, India, tradisi Thalaikoothal dilakukan bagi membunuh orang tua (ibu atau bapa yang uzur) dengan mandian dan minuman tertentu bagi meringankan bebanan keluarga.
Hakikatnya, dalam Islam, ibu mempunyai kedudukan yang mulia. Dalam al-Qur’an, Allah SWT telah memerintahkan para anak agar berbuat baik, tidak berkasar, berbakti dan berkomunikasi dengan sopan dengan ibu terutama ketika usia mereka telah tua. Dalam surah al-Isra’, ayat 23-24, Allah SWT telah berfirman: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekali pun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Apatah lagi, ibu adalah insan yang telah berkorban nyawa dan tenaga untuk hamil dan membawa kandungan selama sembilan bulan. Bahkan ketika melahirkan anak, ibu telah merasai kesakitan yang bersangatan, menanggung rasa malu dan mengorbankan maruah serta kepentingannya demi anak dilahirkan dengan selamat. Kemudian, ibu menyusukan anak-anak, berjaga siang dan malam, dan membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Dalam hal ini, Allah memerintahkan anak-anak agar berbuat baik kepada ibu. Dalam surah Luqman, ayat 14, Allah SWT telah berfirman: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Rentetan itu jugalah, Islam meletakkan kedudukan ibu lebih mulia berbanding bapa, iaitu melebihi tiga kali. Kelebihan ini antara lain disebabkan ibulah yang mengandung, melahirkan dan menyusui anak-anak. Dalam hadis Nabi SAW: Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata: seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu beliau bertanya: Wahai Rasululah, siapakah orang yang paling berhak aku perlakukan dengan baik kepadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi; “Kemudian siapa?” Beliau menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi; “Kemudian siapa lagi?” Beliau menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi; “Kemudian siapa?” Bapamu. (HR al-Bukhari dan Muslim).
Betapa besarnya jasa ibu terhadap anak-anak yang ternyata tidak mampu dibalas semuanya. Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (HR Muslim)
Berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis Nabi SAW di atas, ia jelas menunjukkan ibu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Hubungan ini bermula dari alam rahim lagi hinggalah di akhirat sana, ia tidak akan terputus. Justeru, ketika mempunyai kesempatan untuk berbakti semasa ibu yang masih hidup, maka manfaatkan ruang dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT. Berbuat baiklah, ambil berat tentang diri mereka, bertanya khabar dan keadaan kesihatan mereka, ambil tahu urusan makan dan minum mereka serta pelbagai bentuk khidmat yang diperlukan. Sesungguhnya, kerinduan yang terberat adalah menanggung rasa rindu kepada mereka yang telah tiada. Hargailah ketika mereka masih hidup.
Namun, jika ibu telah meninggal dunia, anak-anak masih lagi dapat meneruskan kebaktian buat mereka. Antaranya melakukan amal kebajikan, sedekah, wakaf dan kiriman doa buat mereka di alam sana. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW: “Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.” (HR Muslim).
Jelasnya, sebagai anak, kita berhutang dengan bapa akan titisan-titisan keringatnya dalam mencari nafkah kepada keluarga dan berhutang dengan ibu akan titisan-titisan air susunya dalam membesarkan kita. Walaupun jasa ibu tidak mampu dibalas sepenuhnya, namun sebagai anak yang soleh, jadilah versi anak yang terbaik dalam berkhidmat kepada ibu. Ini disebabkan kebaikan yang dilakukan bukan hanya diperolehi oleh ibu, malahan manfaatnya turut dinikmati oleh anak-anak.
Jangan hanya membataskan sehari untuk meraikan ibu, sebaliknya jadikan setiap hari sebagai hari yang penuh bermakna kerana dapat berkhidmat dan menggembirakan serta membahagiakan ibu hingga mereka menutup usia.
…
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment