Ekonomi Madani: Pelaburan Langsung Domestik RM120 Bilion daripada GLIC di bawah Program diterajui MOF

Spread the love

PUTRAJAYA, 8 Ogos 2024 – Kementerian Kewangan (MOF) menerajui langkah strategik untuk memperkukuh reformasi struktural Malaysia seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI, melalui program yang bertujuan menyelaraskan usaha merentasi Badan-Badan Berkaitan Kerajaan bagi memangkin pertumbuhan di sektor-sektor utama ekonomi.

Program dikenali sebagai GEAR-uP, di mana fasa pertama melibatkan enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) utama telah memberi komitmen secara kolektif untuk melabur dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang, di samping pelaburan-pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam bernilai RM455 bilion. Pelaburan-pelaburan ini disasarkan kepada industri-industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high-growth high-value; HGHV) seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor. Ia juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula (start- ups), modal teroka (venture capital) serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut.

Pelaburan-pelaburan ini menjadi teras utama bagi program GEAR-uP dengan tujuan untuk memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi baharu dan meningkatkan penyertaan GLIC dalam ikhtiar pembangunan negara. Enam GLIC yang terlibat ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). GLIC ini akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu “Menaikkan Siling” kedudukan ekonomi negara dan “Menaikkan Lantai” kualiti hidup rakyat.

“Bagi mencapai sasaran-sasaran kerangka Ekonomi MADANI, terdapat keperluan untuk menggerakkan semua pihak di seluruh negara — dan ini termasuklah pihak korporat. Melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem-ekosistem ekonomi baharu,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas taklimat berkenaan program di GEAR-uP Gallery Walk semalam di Dewan Utama Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya.

“Dengan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai lebih daripada RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal, GLIC tersebut mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat,” tambah beliau.

Setiap GLIC akan mempunyai bidang tumpuan masing-masing untuk menerajui program GEAR-uP:

  • Khazanah: Mengorak strategi pelaburan berpaksikan ‘Negara yang Mencipta’ (‘A Nation That Creates’) bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing negara. Bidang tumpuan utama termasuk transformasi firma untuk memperkasakan nilai, peralihan tenaga, pendigitalan, pembinaan kapasiti dan peningkatan kemahiran serta menerajui usaha untuk meningkatkan ketersambungan Malaysia melalui portfolio penerbangannya. Khazanah akan memastikan daya tahan ekosistem sektor semikonduktor, memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat peringkat pertengahan dan melabur di ekosistem-ekosistem modal teroka, antara perancangan yang direncanakan bagi menyokong GEAR-uP. Pengambilalihan MAVCAP dan Penjana Kapital baru-baru ini antara langkah untuk membentuk National Fund of Funds yang bakal memperluaskan akses modal bagi syarikat pemula, memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
  • KWAP: Memperkasakan pasaran swasta Malayia merentasi ekuiti swasta, prasarana dan hartanah, dengan tumpuan kepada pemberian dana pemangkin untuk modal teroka serta firma-firma peringkat pertumbuhan melalui Dana Perintis dan Dana Pemacu. KWAP juga telah mengenal pasti lapan sektor, antaranya keterjaminan makanan, ekonomi digital, peralihan tenaga dan sektor pembuatan canggih.
  • PNB: Memodenkan industri-industri dan sektor korporat Malaysia dengan menggalakkan tumpuan kepada aktiviti-aktiviti bernilai tambah tinggi serta mampan, dengan tumpuan khusus kepada pelaburan dalam taman-taman perindustrian baharu, menyokong usaha automasi dan pertanian pintar dalam kelapa sawit serta aset-aset tenaga hijau dan peralihan tenaga. PNB kekal komited untuk memperkasakan serta menjulang komuniti Bumiputera, termasuk mengendali pelbagai program bagi memupuk usahawan-usahawan dan pemimpin-pemimpin korporat Bumiputera; dan memperhebatkan keselamatan kewangan serta kecelikan kewangan di kalangan anak muda.
  • KWSP: Menumpukan kepada pemesatan masyarakat menua yang bermaruah serta makmur, dengan melibatkan pelaburan dalam penyelesaian kesihatan mampan yang berdaya maju daripada segi komersial menerusi kerjasama dengan Kerajaan, termasuklah membina sayap swasta di hospital awam sejajar dengan agenda Transformasi Kesihatan yang didukung oleh Kementerian Kesihatan. Selari dengan mandatnya, KWSP akan kekal berusaha meningkatkan perlindungan sosial dan reformasi pencen dengan penekanan kepada keselamatan pendapatan menua bagi semua rakyat Malaysia.
  • Lembaga Tabung Haji: Meluaskan peranan bank Islam termasuklah melalui memperkasakan impak sosial lestari melalui instrumen kewangan Islam bagi pengagihan bantuan secara lebih teratur kepada golongan miskin; dan menguatkan sistem kewangan Islam melalui kerjasama strategik dengan lain- lain institusi serta pemain industri kewangan Islam utama.
  • LTAT: Meningkatkan daya cipta nilai industri farmaseutikal Malaysia dengan memperluaskan kapasitinya dalam penghasilan produk biofarmaseutikal tempatan. LTAT juga kekal komited untuk menjamin kesejahteraan sosial Angkatan Tentera Malaysia dengan menyokong peralihan ekosistem veteran kepada transisi karier kedua.

Melangkaui pelaburan modal, GLIC dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menerajui usaha untuk memberi impak bagi meningkatkan kehidupan pekerja-pekerja di organisasi serta ekosistem masing-masing, termasuklah di dalam syarikat-syarikat pelaburan mereka. Ini merangkumi, antara lain, komitmen untuk memastikan pekerja-pekerja menerima gaji wajar sebanyak RM3,1001, serta menyelaraskan penanda aras gaji pada masa hadapan dengan laporan tahunan Belanjawanku oleh KWSP.

GLIC ini juga bertekad untuk mengekalkan usaha sedia ada dalam memastikan peluang saksama melalui perwakilan gender di tempat kerja; program-program latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula secara bersasar dan peningkatan kemahiran terutamanya bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); dan sokongan komuniti secara holistik melalui inisiatif-inisiatif kebertanggungjawaban korporat yang lebih bersepadu serta secara lebih teratur, seperti kerjasama dengan Kerajaan dalam program Kampung Angkat MADANI untuk menjayakan intervensi sosioekonomi bagi melengkapkan sokongan Kerajaan dalam pembekalan prasarana asas.

Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) akan diperkasakan sebagai dana khazanah antara generasi Malaysia dengan sumber-sumber sumbangan baharu, garis panduan penggunaan yang disemak semula, serta mandat pelaburan yang diperkuatkan untuk memastikan kemampanan dan pemeliharaan kekayaan bagi generasi-generasi rakyat mendatang. Saiz dana semasa KWAN yang ditadbir urus oleh Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, adalah berjumlah kira-kira RM20 bilion.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation