Pada 1 Disember 2024, Universiti Malaya (UM) telah menjadi tuan rumah kepada “Kongres Gabungan Mahasiswa Kerja Sosial Malaysia”, yang julung kali diadakan. Program ini telah dicetus dan dianjurkan oleh Persatuan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Universiti Malaya (PPKSUM) yang menghimpunkan persatuan-persatuan pelajar kerja sosial dari universiti di seluruh Malaysia.
“Secara langsung, program ini bertujuan untuk membentuk jawatankuasa interim dalam usaha menubuhkan Gabungan Mahasiswa Kerja Sosial Malaysia. Selain itu, program ini juga mencipta peluang kepada mahasiswa jurusan ini untuk berinteraksi bersama rakan-rakan lain dari seluruh negara,” kata Muhammad Royzekry Daniel Bin Royjefry, mahasiswa tahun ketiga yang merupakan pengarah program.
Universiti yang mengambil bahagian dalam kongres ini ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK). “Kehadiran pensyarah dari pelbagai institusi pengajian tinggi ini, selain mengiringi pelajar masing-masing, secara tidak langsung turut memperkukuh kredibiliti dan aspirasi kongres ini sebagai usaha kita membina masa depan profesion kerja sosial di Malaysia yang lebih holistik dan menyeluruh,” kata Royzekry.
Inisiatif pembentukan dan seterusnya penubuhan jawatankuasa penggerak kerja sosial di peringkat mahasiswa ini sebenarnya bersifat serampang dua mata. Selain bertujuan menjadi satu platform yang menyatukan kesemua mahasiswa yang mengambil jurusan ini, gabungan ini kelak akan menyatukan suara mahasiswa sebagai tulang belakang kepada usaha memperjuangkan pembentukan Akta Profesion Kerja Sosial di Malaysia. “Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang kerja sosial, serta menjadi platform advokasi progresif dalam bidang kerja sosial,” kata Royzekry lagi.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Haris Abd Wahab yang mewakili Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial UM menekankan bahawa kerjasama antara mahasiswa dari pelbagai universiti ini adalah kunci untuk membina kesedaran yang lebih luas mengenai pentingnya pembentukan akta ini.
“Dalam usaha untuk memberi kesedaran bahawa bidang kerja sosial ini bukanlah bidang yang hanya melibatkan sukarelawan, tetapi turut menekankan pembangunan komuniti secara menyeluruh. Oleh itu, pihak kerajaan, badan bukan kerajaan seperti pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik, pengamal kerja sosial, serta mahasiswa, seharusnya memainkan peranan proaktif dalam menyokong pelaksanaan dasar yang dapat memperkukuh perlindungan dan kebajikan pekerja sosial di negara ini,” terangnya lagi.
Akta Profesion Kerja Sosial ini kelak adalah penting dalam mewujudkan standard profesional, memperbaiki perlindungan kerjaya pekerja sosial, dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya golongan rentan dan terpinggir. “Walaupun kerja sosial telah lama menjadi komponen penting dalam pembangunan masyarakat, profesion ini sering kali kurang mendapat perhatian dari segi dasar dan pengiktirafan rasmi. Dengan adanya akta ini, bukan sahaja peranan pekerja sosial akan lebih dihargai, tetapi ia juga akan menggalakkan lebih ramai individu muda untuk melibatkan diri dalam bidang ini sebagai satu kerjaya,” kata Prof. Dr. Haris lagi dalam ucapannya.
Dengan penglibatan pelajar Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial dari tahun pertama hinggalah tahun keempat, kongres ini membuktikan komitmen universiti terhadap pembangunan kerja sosial di Malaysia. Pensyarah-pensyarah Jabatan yang turut hadir menyatakan rasa bangga mereka terhadap usaha pelajar-pelajar ini. “Inisiatif seperti ini bukan sahaja membina jaringan antara universiti, tetapi juga memupuk semangat kepimpinan dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa yang terlibat,” kata Royzekry mewakili rakan-rakannya.
Harapan untuk masa depan
Kongres ini bukan sahaja berjaya menjadi platform untuk perbincangan mengenai akta profesion kerja sosial, tetapi juga diharapkan menjadi batu loncatan untuk lebih banyak program dan kongres seumpamanya pada masa akan datang. “Buktinya, semasa penutup kongres, kesemua peserta telah bersetuju secara kolektif bahawa usaha ini perlu diteruskan dengan kerjasama yang lebih erat di antara semua pihak berkepentingan, termasuklah kerajaan, universiti, dan badan professional,” kata Royzekry.
Dengan momentum yang dihasilkan oleh kongres ini, diharapkan suara mahasiswa dapat membantu mempercepatkan penggubalan Akta Profesion Kerja Sosial di Parlimen. Ia adalah satu langkah penting untuk memastikan kerja sosial di Malaysia terus berkembang sebagai profesion yang dihormati, diiktiraf, dan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat.
“Kongres Gabungan Mahasiswa Kerja Sosial Malaysia jelas mencerminkan komitmen generasi muda terhadap pembaharuan sosial. Dengan semangat yang dipamerkan, masa depan profesion kerja sosial di Malaysia kelihatan cerah dan positif, terutamanya dalam mendepani pasaran kerja yang tidak menentu pada era digital ini,” kata Royzekry mengakhiri temubual.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment