Akuaponik dalam pendidikan lestari: Galak guru kongsi kemahiran

Spread the love

Oleh: Dr. Abd. Aziz Rekan, Dr. Mohd Istajib Mokhtar

Pendidikan Pembangunan Mampan atau Education for Sustainable Development Goals (ESD) menuntut para pendidik menjadi lebih proaktif dan inovatif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi menyeimbangkan pembangunan intelektual, fizikal, emosi dan spiritual. Sistem pendidikan tidak lagi boleh bergerak secara berasingan tetapi hendaklah dilaksanakan secara bersepadu merentas kurikulum dan seimbang antara teori dan amali, di dalam atau di luar bilik darjah. Dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs), pembangunan tidak boleh hanya dilihat dari dimensi sains dan teknologi semata-mata tanpa menitikberatkan aspek moral dan agama dalam satu kerangka yang holistik.  

Akuaponik berperanan sebagai medium pendidikan lestari menerusi integrasi elemen sains, teknologi, dan etika. Akuaponik merupakan satu sistem yang menyerupai ekosistem semula jadi. Sistem ini mengajar konsep simbiotik antara haiwan dan tumbuhan, memupuk pengurusan sumber air dan tenaga yang cekap serta mendorong inovasi dan kreativiti dalam tindakan iklim. Selain itu, sistem ini mengurangkan jejak ekologi dan menyediakan pendekatan praktikal untuk memahami keselamatan makanan dan pertanian bandar. Melalui pembelajaran hands-on, sistem akuaponik dapat memberi kesedaran dan melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi.

Elemen Merentas Kurikulum (EMK)

Sistem akuaponik didapati begitu sesuai untuk diperluaskan lagi teori dan amalinya di peringkat sekolah. Sistem ini bukanlah perkara yang asing kerana sudahpun menjadi silibus subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT). Sistem ini berpotensi mengintegrasikan pelbagai subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi, RBT malah Pendidikan Islam dan Moral menerusi elemen merentas kurikulum (EMK) seperti nilai murni, kelestarian alam sekitar, dan kemahiran abad ke-21. Para pelajar dapat mempelajari cara mengaplikasikan pengetahuan secara praktikal, menghubungkan prinsip nilai dan moral dengan penyelesaian teknologi yang inovatif. Bagi mengurangkan bebanan guru, sebenarnya pendekatan integrasi kurikulum menerusi aktiviti akuaponik ini boleh dilaksanakan berlandaskan beberapa model integrasi Kurikulum yang diperkenalkan oleh Robin Fogarty seperti di bawah berikut:

  1. Model Connected (Berhubung): Elemen agama dan teknikal dihubungkan secara serta-merta dan berterusan dalam setiap langkah pembelajaran. Contohnya, murid mempelajari konsep Islam seperti amanah menjaga alam dan khalifah di bumi sambil merekabentuk sistem akuaponik dalam sesi yang sama, memastikan kedua-dua elemen berjalan selari sepanjang aktiviti.
  • Model Sequenced (Berurutan): Kandungan subjek Pendidikan Islam disampaikan secara berperingkat dengan mengajar nilai agama terlebih dahulu seperti penjimatan sumber dan ihsan kepada haiwan sebelum murid mempraktikkannya dalam kelas Biologi atau Rekabentuk Teknologi. Tempoh pelaksanaan terpisah tetapi saling melengkapkan secara logik.
  • Model Shared (Berkongsi): Subjek Sains, Teknologi dan Agama diajar serentak dalam satu sesi berdasarkan tema bersama seperti kelestarian alam. Guru Pendidikan Islam misalnya mengajarkan prinsip ekologi berasaskan konsep sunnatullah manakala guru RBT mengajarkan reka bentuk teknikal secara selari berkaitan inovasi yang mesra alam, membolehkan murid mengaplikasikan kedua-dua elemen secara menyeluruh dalam masa yang sama.

Langkah Ke Hadapan

Untuk memastikan keberkesanan pendekatan ini, tiga langkah penting perlu diambil. Pertama; guru perlu dilatih untuk melaksanakan pendekatan integrasi ini. Kerjasama antara guru Pendidikan Islam, Sains dan RBT harus diperkukuhkan bagi memastikan elemen sosio- teknikal disepadukan secara menyeluruh. Kedua: institusi pendidikan perlu menyediakan kemudahan seperti sistem akuaponik yang lengkap serta bahan rujukan untuk menyokong pengajaran. Pelaburan dalam teknologi dan sumber ini adalah langkah penting ke arah pendidikan holistik. Ketiga: sokongan ibu bapa, komuniti, universiti dan industri amat penting dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian dan memupuk sokongan terhadap program pendidikan inovatif ini.

Akuaponik sebagai pendekatan pendidikan bukan sahaja mencerminkan inovasi teknologi tetapi juga nilai etika alam sekitar yang mendalam. Dengan mengintegrasikan elemen spiritual dan teknikal, pelajar dilatih menjadi individu seimbang yang memahami tanggungjawab mereka terhadap Allah, manusia, dan alam selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Melalui akuaponik, pengajaran pendidikan Islam juga akan melangkah ke hadapan dengan cara yang progresif, pragmatik, relevan, dan menyeluruh. Ia membentuk generasi yang tidak hanya mahir dalam teknologi tetapi juga berakhlak mulia, memikul tanggungjawab besar sebagai khalifah di bumi ini. Pendekatan ini, jika dilaksanakan dengan betul, bukan sahaja memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21 tetapi juga mempersiapkan pelajar untuk menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab dan inovatif.


Dr. Abd. Aziz merupakan pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam, manakala Dr. Istajib adalah pensyarah kanan di Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation