Pupuk sifat empati mahasiswa melalui interaksi bersama golongan istimewa
Mahasiswa memainkan peranan yang penting dalam menyokong pembangunan masyarakat yang inklusif. Tenaga muda mereka amat diperlukan dalam membantu mencipta persekitaran yang lebih positif dan kondusif untuk kanak-kanak istimewa. Mahasiswa sememangnya perlu aktif menyertai program-program sukarelawan terutamanya dalam membantu kanak-kanak istimewa dan berkeperluan khas. Selain berpeluang membangunkan karekter peribadi, mereka juga dapat meningkatkan daya tahan emosi dan kesabaran ketika berurusan dengan kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas serta meningkatkan empati melalui interaksi dengan kanak-kanak istimewa. Pengalaman sebegini mengajar mahasiswa untuk lebih prihatin terhadap keperluan golongan yang kurang bernasib baik sekaligus membantu mereka menghargai apa yang mereka miliki dan mengamalkan sikap rendah hati. Terdapat pelbagai teori psikologi, sosiologi, pendidikan, dan pembangunan manusia yang menyokong manfaat yang diperoleh oleh mahasiswa melalui penyertaan dalam program sukarelawan dalam membantu kanak-kanak istimewa dan berkeperluan khas. Misalnya Teori Perkembangan Moral oleh Kohlberg berkaitan Peringkat Moral Konvensional dan Post-Konvensional. […]