ALOR SETAR, 12 Januari 2023 – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Senator Fuziah Salleh telah melancarkan Aduan Suri dan Peremajaan Semula Saluran Aduan Kepenggunaan KPDN bersempena Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar, Kedah.
Menurut Fuziah dalam satu kenyataan media hari ini, KPDN mengambil langkah untuk melancarkan semula atau re-promoting saluran-saluran aduan kepenggunaan sedia ada dengan menambah baik sistem aduan agar lebih mesra pengguna.
“Peremajaan semula semua platform aduan ini diharap dapat disebar luas manfaatnya kepada seluruh masyarakat Malaysia.
Pelancaran pada hari ini berfokuskan kepada suri rumahtangga, yang berurusan dengan pembelian barang “keperluan” secara harian, dan berdepan secara langsung dengan sebarang isu kenaikan harga yang melampau serta kekurangan bekalan.
Besar hasrat Kementerian melalui pendekatan baharu ini, para suri rumahtangga dapat menjadi mata dan telinga juga rakan strategik Kementerian dalam memberikan maklumat sahih dari lapangan di seluruh Malaysia. Dengan mempermudahkan Aduan dibuat oleh Suri Rumahtangga, KPDN berharap secara tidak langsung mereka akan menjadi menjadi rakan strategik kementerian secara langsung di lapangan.” kata Fuziah.
Fuziah turut melancarkan QR Code saluran aduan melalui aplikasi Whatsapp, ADUAN SURI: Mendayaupayakan Pengguna bagi memudahkan pengguna membuat aduan.
Katanya, melalui mekanisme ini, pengadu hanya perlu mengimbas QR Code tersebut dan ianya akan terus disalurkan ke aplikasi Whatsapp aduan KPDN.
“Dengan kemudahan ini diharapkan agar pengguna dapat memanfaatkan semua saluran aduan yang disediakan serta dapat membantu Kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang-undang di bawah seliaan KPDN sekaligus membentuk masyarakat Malaysia yang mampu bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak sebagai pengguna.” kata Fuziah.
Mengambil kira dapatan daripada Indeks Pendayaupayaan Pengguna iaitu 63.1%, KPDN akan menggiatkan lagi promosi aduan yang boleh dilaksanakan secara mudah dan cepat terutamanya para Suri Rumah yang memang membuat pembelian barangan secara runcit harian.
“Ini adalah selari dengan data Aduan 2022, yang merekodkan, jumlah Pengadu Wanita adalah 13,755 orang, pada tahun 2022.
Tambahan itu pula, inisiatif ini dapat merealisasikan hasrat KPDN untuk memberi maklum balas akuan penerimaan aduan secara segera dari satu hari kepada 2 jam. Inisiatif ini juga membantu mempercepatkan tindakan maklum balas atas aduan lengkap yang diterima dalam tempoh 14 hari berbanding 21 hari.” jelas Fuiah.
Sehingga kini, KPDN telah menyediakan sembilan (9) saluran aduan tetapi majoriti yang digunakan adalah enam (6) saluran aduan kepenggunaan daripada pelbagai platform bertujuan meningkatkan lagi tahap keberkesanan dan kemudahan pengguna membuat aduan. Saluran-saluran tersebut adalah:
(i) Talian Whatsapp: 019-279 4317 / 019-848 8000
(ii) Aplikasi telefon Pintar: EzAdu;
(ii) Portal e-Aduan: https://e-aduan.kpdnhep.gov.my;
(iv) Talian Hotline: 1-800-886-800;
(v) Emel (e-aduan@kpdn,gov.my); dan
(vi) Enforcement Command Centre (ECC): 03-8882 6245 / 6088;
Untuk rekod, KPDN telah menerima sejumlah 29,265 aduan kepenggunaan sepanjang tahun 2022. Aduan kepenggunaan tertinggi berkaitan Transaksi Atas Talian sebanyak 8,847, diikuti dengan aduan mengenai Harga sebanyak 7,259 dan Perkhidmatan Mengelirukan sebanyak 6,095 aduan. Manakala, saluran aduan yang paling popular digunapakai pengguna bagi penyaluran aduan pada tahun 2022 adalah melalui Portal e-Aduan iaitu 14,378 aduan, diikuti medium aplikasi WhatsApps 9,801 aduan dan aplikasi ezAdu KPDN 3,667 aduan.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment