KKD adakan perbincangan bersama Google bagi benteras berita palsu
19 Mei 2023 – Pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengadakan pertemuan bersama Google (News Partnership) pada 16 Mei lalu susulan kebimbangan ramai pihak dengan penyebaran berita palsu yang tidak berkesudahan.
Timbalan Menterinya Teo Nie Ching dalam satu hantaran di Facebook rasminya berkata di dalam pertemuan itu beberapa perkara telah dibincangkan terutama penekanan terhadap cara menangani berita palsu dan ini termasuklah usaha Google untuk menyokong inisiatif kerajaan melalui penyemakan maklumat menerusi sebenarnya.my dan MyCheck.my.
“Harapan saya, pihak Google juga dapat menyokong inisiatif tempatan yang menyediakan platform semakan maklumat seperti JomCheck dan lain-lain.
Kolaborasi Inisiatif Berita Google (GNI) yang dilancarkan pada 2018 bertujuan untuk memperkukuh siaran berita perlu diteruskan di Malaysia, lebih-lebih lagi GNI telah menyokong lebih 7,000 rakan kongsi berita di lebih daripada 120 negara dan wilayah.” ujar beliau.
Tambanya beliau merasakan pertemuan, perbincangan dan jalinan strategik dengan platform pencarian maklumat pantas seperti Google ini penting dalam usaha mengekang penyebaran berita palsu.
Be the first to leave a comment