Aksi biadap The 1975 : Kerajaan arah pembatalan serta merta Festival Good Vibes 2023

Spread the love

Susulan dari aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari UK “The 1975” di Sepang malam tadi, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai.

Penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia turut dipanggil beliau hari ini.

Screenshot persembahan The 1975 dari YouTube.

“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

Justeru, saya telah mengarahkan PEMBATALAN SERTA MERTA baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai.

Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.” tegas Fahmi.

Tambah beliau, Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara.

“Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan.” ujar Fahmi.

Menurut laporan portal berita Sinar Daily, ahli Kumpulan British The 1975, Matt Healy dan Ross MacDonald bercium di pentas semasa persembahan mereka di Festival Good Vibes 2023.

Sebelum “tunjuk protes” itu, Healy menyatakan kekecewaannya tentang pendirian negara terhadap komuniti LGBT (Lesbian Gay Biseksual dan Trans).

Menurut para penonton konsert yang hadir, dia memberitahu orang ramai di situ bahawa kerajaan Malaysia adalah “terencat” kerana peraturan yang telah dikenakan berhubungan seks.

Dalam pada itu, parti Pejuang turut mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan kumpulan tersebut dan juga mempersoal kredibiliti pihak Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang bernaung dibawah Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia kerana meluluskan permit persembahan The 1975 sedangkan terdapat insiden-insiden terkutuk yang sama oleh kumpulan ini di Dubai pada tahun 2019.

Kata Ketua Penerangannya Rafique Rashid, Pejuang menggesa tindakan segera tanpa kompromi diambil terhadap The 1975 serta Matt Healy sendiri kerana keceluparannya mempersoal Kerajaan serta pihak berkuasa atas isu-isu berkaitan LGBTQIA+.

“Kata-kata kesat yang dihembur secara terbuka serta berkelakuan mabuk atas pentas juga jelas menunjukkan kumpulan ini tidak menghormati undang-undang Negara.

Pihak Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai tatakelola pengisuan Permit Lawatan (Profesional) bagi pihak-pihak yang melawat Negara untuk persembahan juga digesa serta-merta untuk menyenaraihitamkan The 1975 dan Matt Healy dari menghadirkan diri ke Malaysia.” tegas beliau.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation