KUALA LUMPUR, 22 Januari 2024 (Bernama) — Pada Minggu Epidemiologi ke-02 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 3,525 kes berbanding 3,181kes pada minggu sebelumnya. Terdapat dua (2) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-02 tahun 2024.
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-02 adalah sebanyak 6,706 kes berbanding 4,739 kes bagi tempoh sama tahun 2023. Manakala terdapat dua (2) kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding dua (2) kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-02 adalah sebanyak 136 lokaliti berbanding 130 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 136 lokaliti yang dilaporkan, 106 lokaliti di Negeri Selangor, 17 lokaliti di WPKL & Putrajaya, lima (5) lokaliti di Negeri Perak, empat (4) lokaliti di Negeri Sembilan, manakala masing-masing dua (2) lokaliti di Pulau Pinang dan Negeri Sabah.
Bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-02. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah satu (1) kes. Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada ME02/2024. Bagi survelan zika, sebanyak 50 sampel darah telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada 11 November hingga Mac 2024. Peningkatan curahan hujan berikutan Musim Monsun Timur Laut ini boleh menyumbang kepada peningkatan bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes. Justeru, masyarakat disarankan bersama-sama melakukan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan denggi semasa dan selepas banjir.
a. Langkah pencegahan semasa banjir:
i. Memakai baju berlengan panjang dan berseluar panjang serta berwarna cerah.
ii. Lakukan semburan aerosol pembunuh nyamuk di ruang yang terlindung.
iii. Sapu losyen repelan atau semburan repelan pada kulit yang terdedah.
b. Langkah pencegahan selepas banjir:
i. Rancang aktiviti gotong-royong bersama komuniti bagi menghapuskan tempat-tempat menakung air selepas banjir.
ii. Lakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan di persekitaran, dalam dan luar rumah.
iii. Lakukan semburan aerosol di dalam rumah sejurus sebelum masuk ke dalam rumah.
Masyarakat perlu mengambil cakna mengenai masalah denggi dan sentiasa memastikan persekitaran tempat tinggal bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment