• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Jual produk makanan tertera perkataan ‘No Palm Oil’, kedai serbaneka diambil tindakan oleh KPDN

Spread the love

PUTRAJAYA, 3 Mei 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan ke atas premis kedai serbaneka di Presint 3, Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan yang tertera perkataan ‘No Palm Oil’ pada plastik pembungkusan produk berkenaan pada 2 Mei 2024.

Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan hari ini, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula pada jam 11.45 pagi itu adalah hasil aduan awam yang telah diterima oleh pihak Kementerian.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemui produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan ‘No Palm Oil’. Kesemua produk aiskrim tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.

Kes ini akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022. Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.” kata Ahli Parlimen Papar tersebut.

Kata Armizan, perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 telah mula dikuatkuasakan bermula 15 Mac 2022.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 sehingga 2 Mei 2024 di bawah perundangan tersebut, sebanyak 5,057 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara ke atas premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran dan daripada jumlah tersebut, sebanyak empat kes telah didapati.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk yang diimport dari luar Negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan. Jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang yang melibatkan komoditi utama negara iaitu minyak kelapa sawit.” ujar Armizan.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation