• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Rakyat digesa sokong KITA GEMPUR

Spread the love

KOTA KINABALU, 19 Oktober 2024 – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan inisiatif baharu kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) semasa Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Pekarangan Kompleks Sukan Likas, Sabah.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, inisiatif yang dikenali sebagai KITA GEMPUR itu adalah satu langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Kata Armizan, ia termasuk usaha mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli bermasalah dan kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran serta tipuan bida.

“Selain memperkasa aspek penguatkuasaan, gerakan ini juga akan memberikan fokus kepada advokasi kepenggunaan dan advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat).

Dalam usaha menggerakkan agenda di bawah inisiatif ini, gerakan KITA GEMPUR menyasarkan kepada keterlibatan massa dan kebersamaan pelbagai pemegang taruh meliputi (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi Awam. Melalui sinergi yang diwujudkan, ia akan mengukuhkan kerjasama antara rakan strategik dengan penguat kuasa KPDN agar satu sistem pengawasan dan pelaporan yang lebih bersepadu dapat dilaksanakan.” kata Armizan.

Menerusi gerakan itu, KPDN telah mewujudkan platform pelaporan khusus yang boleh diakses menerusi imbasan kod QR (Quick Response) yang menyediakan beberapa saluran rasmi bagi mengemukakan aduan kepada KPDN, iaitu melalui WhatsApp – 019-848 8000, Talian hotline yang beroperasi 24 jam – 03 8882 6088 / 6245 dan saluran aduan #HapusKartel yang dikendalikan oleh MyCC – https://www.mycc.gov.my/e-aduan.

“Pada masa yang sama, sebagai langkah memaksimumkan penglibatan awam, KPDN akan memilih beberapa tempat seperti pasar raya, premis perniagaan, dan stesen minyak seluruh Malaysia yang akan dijadikan sebagai titik tumpuan pelaporan aduan. Kod QR KITA GEMPUR akan dilekatkan di lokasi-lokasi terbabit sebagai langkah untuk memudahkan penglibatan awam untuk melaporkan sebarang kes salah laku secara terus, mudah dan pantas.

Kewujudan lokasi titik tumpuan ini akan memastikan setiap aduan yang disampaikan dapat disalurkan melalui platform yang tepat, sekali gus memudahkan proses penyelesaian dan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan. Dengan pelancaran ini, kerajaan melalui KPDN beriltizam untuk melibatkan seluruh rakyat dalam memastikan usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barangan kawalan dapat ditangani.” kata Armizan.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation