KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis sedang menjalan siasatan menyeluruh berhubung insiden tembakan melibatkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu baru-baru ini.
Beliau berkata siasatan turut merangkumi enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata selain siasatan polis, APMM juga menjalankan siasatan dalaman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960. Senjata api tidak boleh digunakan kecuali atas sebab-sebab tertentu.
“Mereka adalah anggota yang bertugas pada hari kejadian, dan terdapat penggunaan senjata api,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Sebelum ini dilaporkan seorang daripada dua lelaki warga Indonesia yang diburu polis berhubung insiden tembakan di Tanjung Rhu pada 24 Januari lalu, ditahan sekitar Teluk Panglima Garang, di Banting pada 31 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan itu.
Terdahulu media melaporkan, polis Selangor masih memburu dua lelaki warga Indonesia yang menghantar tiga daripada empat pendatang tanpa izin (PATI) ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang selepas cedera dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu.
Hussein dilapor berkata, dua lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan malah pihaknya juga percaya terdapat beberapa lagi individu lain terbabit berdasarkan saiz bot dan percakapan daripada saksi.
Sebelum itu, media melaporkan Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang) menerima tiga lelaki yang mengalami kecederaan akibat ditembak pada minggu lalu.
Ketiga-tiga lelaki dipercayai warga Indonesia itu mengalami kecederaan akibat tembakan dihantar ke unit kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Sementara itu, Saifuddin memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.
Beliau turut memaklumkan tembakan disasarkan ke bahagian enjin bot asing selepas tembakan amaran ke udara tidak diendahkan.
Menurut Saifuddin Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah memberi tiga kali amaran namun tidak dipedulikan bot pekerja migran Indonesia dalam kejadian di perairan berhampiran Pulau Carey minggu lalu.
Beliau berkata anggota Maritim Malaysia yang bertugas menaiki bot kelas Penggalang Tiga ketika itu menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada bot migran Indonesia untuk berhenti, namun tidak dihiraukan.
Menurut Saifuddin adegan mengejar terus berlaku dengan cubaan rempuhan terhadap bot Maritim Malaysia sehingga anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebagai isyarat supaya bot migran berhenti.
Katanya, sebagai langkah terakhir, barulah tembakan dilepaskan ke arah bahagian enjin kapal berkenaan.
“Tindakan pertama memberi amaran itu adalah tindakan sangat penting. Ternyata bot (dinaiki migran Indonesia) tidak menghiraukan amaran lalu terus bergerak dan memecut laju.
“Maksudnya bot itu harus dikejar. Berlaku adegan mengejar. Ketika itu juga, berlaku percubaan bot melanggar bot Maritim Malaysia. Percubaan langgar itu secara jelas menyasarkan pada bahagian bot Maritim iaitu bot petrol,” katanya.
Tambah Saifuddin, jika bot enjin petrol dirempuh boleh mengakibatkan letupan.
Katanya, ini kerana perbuatan melanggar itulah, maka tembakan amaran dilepaskan ke udara dibuat.
“Di sebalik tembakan amaran ke udara itu, bot itu tidak terhenti, malah terus memecut dan berjaya meloloskan diri dalam adegan mengejar itu.
“Kemudian bot Maritim Malaysia balik semua ke jetinya,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment