Tiada sebarang kompromi dalam menegakkan kebenaran, keselamatan negara – Saifuddin
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada sebarang kompromi dalam menegakkan kebenaran dan keselamatan negara berhubung insiden tembakan melibatkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu baru-baru ini.
Beliau berkata kerajaan Madani komited untuk mengekalkan ketelusan dan keadilan dan pihak kedutaan Indonesia telah diberikan akses untuk bertemu warganegara mereka yang menerima rawatan di hospital.
“Pada sidang media hari ini, saya telah memberikan fakta dan penjelasan berkenaan insiden melibatkan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Carey pada 24 Januari 2025.
“Insiden ini membuktikan cabaran besar dalam mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan sempadan maritim dan APMM telah menjalankan tugas secara profesional dalam menangani pencerobohan yang mencurigakan,” katanya di Facebook.
Menurut Saifuddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil alih siasatan di peringkat Ibu Pejabat bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara mendalam, telus dan penuh integriti.
“Tiada sebarang kompromi dalam menegakkan kebenaran dan keselamatan negara.
“Kita akan terus mempertahankan kedaulatan perairan negara dan mengekang sebarang bentuk ancaman, demi kesejahteraan rakyat dan keamanan Malaysia.
“Terima kasih kepada rakan-rakan media yang hadir membuat liputan di sidang media saya hari ini,” katanya.
Be the first to leave a comment