PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) terus komited dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada para pengunjung Thaipusam melalui inisiatif KESUMA MADANI yang diperkenalkan pada tahun 2024.
Menurut KESUMA, program itu telah berjaya dilaksanakan di Kuil Batu Caves dan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang, dengan sambutan yang amat menggalakkan.
“Berdasarkan kejayaan tahun lalu, KESUMA akan meneruskan inisiatif ini pada tahun 2025 dengan perkhidmatan tambahan serta lebih banyak reruai yang mempamerkan program-program dan inisiatif daripada agensi di bawah KESUMA.
“Pada tahun ini, ruang rehat untuk pengunjung Thaipusam akan beroperasi pada Hari Thaipusam, 11 Februari ini, dari jam 6 pagi hingga 6 petang di Batu Caves, Kuala Lumpur dan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menurut KESUMA, pelbagai aktiviti disediakan oleh KESUMA untuk dimanfaatkan oleh pengunjung.
Katanya, antara perkhidmatan diberikan adalah menyediakan ruang rehat khas
yang selesa bagi 700 pengunjung di Batu Caves, Kuala Lumpur dan 500 pengunjung di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang.
“Bagi pengunjung yang menghadiri acara ini, kawasan rehat yang selesa disediakan untuk mereka berehat sebelum dan selepas menjalankan ibadah masing-masing.
“Kami memahami kepentingan ruang yang selesa dan kondusif untuk mereka mendapatkan ketenangan serta berehat,” katanya.
Dalam pada itu, KESUMA berkata ruang rehat khas juga disediakan kepada petugas barisan hadapan termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pekerja Alam Flora, serta pihak Majlis Perbandaran yang bertungkus lumus memastikan kelancaran acara ini.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat.
Tambah KESUMA, seramai 300 orang sukarelawan akan ditempatkan di Batu Caves, Kuala Lumpur dan 200 orang sukarelawan di Pulau Pinang untuk membantu pengunjung OKU, warga emas dan melancarkan perjalanan program.
Katanya, PERKESO akan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan kepada pengunjung termasuk ujian paras gula, kolesterol, dan tekanan darah.
“Bilik penyusuan ruang khas disediakan untuk ibu menyusu bagi keselesaan mereka.
“Pengunjung boleh mendapatkan penerangan mengenai Pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan mendaftar di kaunter,” katanya.
Sementara itu, KESUMA berkata khidmat nasihat peluang pekerjaan MyfutureJobs akan membantu pengunjung yang hadir dengan maklumat peluang pekerjaan dan prospek kerjaya.
Katanya, promosi latihan keselamatan NIOSH akan mempamerkan kursus keselamatan yang boleh memberi manfaat kepada pengunjung.
Katanya, manakala program pembangunan kemahiran TalentCorp dan Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) akan mempromosikan program MiSI 2.0.
“Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) akan membuka pendaftaran untuk kursus TVET di Institut Latihan Perindustrian (ILP) bagi peringkat Persijilan dan Diploma.
“Makanan dan minuman seperti roti serta air mineral akan disediakan sepanjang hari bagi kemudahan pengunjung,” katanya.
KESUMA berharap inisiatif itu akan terus memberi manfaat kepada pengunjung Thaipusam serta membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan sosial, peluang pekerjaan, dan pembangunan kemahiran.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment