KUALA LUMPUR: Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mencadangkan kerajaan memuktamadkan cadangan mewujudkan harga tunggal Beras Putih dengan gred tunggal yang dinamakan
Beras Putih Malaysia Madani (BPMM).
Beliau berkata cadangan itu bagi menyelesaikan isu manipulasi harga beras.
“Saya amat konsisten dan sekali lagi mencadangkan BPMM.
“Ia akan hanya mempunyai satu harga siling tak kira beras import atau beras tempatan, satu gred satu harga. Maka dengan cara ini, peluang untuk manipulasi sudah tak ada,” katanya semasa membahaskan usul Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat.
Menurut Syed Abu Hussin jika kerajaan tidak dapat buat satu harga, satu gred, maka beliau yakin manipulasi akan terus berlaku dan rakyat terpaksa beli dengan harga yang lebih mahal.
Katanya, pada 16 Februari tahun lepas, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengumuman gred tunggal Beras Putih Malaysia Madani sewaktu melancarkan Jualan Termurah MADANI di Permatang Pauh.
“Perdana Menteri turut mengarahkan agar keputusan tersebut dimuktamadkan pada Mesyuarat NACCOL.
“Pada 23 Februari 2024 saya telah membentangkan cadangan satu gred satu harga di dalam Mesyuarat Penuh NACCOL namun sehingga hari ini tiada keputusan muktamad yang diputuskan,” katanya.
Syed Abu Hussin berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu berani dan tegas dengan kawalan harga supaya boleh fokus untuk membanteras kartel rantaian industri padi yang selama ini memangsakan pesawah dan pengguna.
“Sekiranya ada perjanjian konsesi beras bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang menghalang penyelarasan gred tunggal itu dibuat, saya mohon kementerian dedahkan butiran perjanjian tersebut,” katanya.
Terdahulu, Syed Abu Hussin berkata
punca sebenar kehilangan beras adalah kerana isu struktur harga.
Katanya, harga beras import tidak dikawal oleh kerajaan dan beras tempatan dikawal dengan harga RM26 sekampit.
“Oleh kerana perbezaan dua harga ini, padahal Beras Putih Tempatan dan Beras Putih Import adalah satu beras yang sama.
“Yang dikeluarkan dalam negara kita adalah beras putih tempatan, dan yang dari luar negara diimport oleh BERNAS juga beras putih.
“Kedua-dua beras ini tidak boleh dibezakan. Maknanya aktiviti pencampuran ini telah berlaku. Namun beras import tiada kawalan dari kerajaan,” katanya.
Tambahnya, BERNAS boleh tentukan harga jualan pintu gudang dan akibatnya beras import dijual sehingga RM40 sekampit.
“Manipulasi harga beras ini menyebabkan rakyat terpaksa berbelanja lebih. Beras Tempatan RM26, Beras Import RM40.
“Beras Tempatan dikampitkan kepada Beras Import dan dijual pada harga RM40. Sebab itulah Beras Tempatan hilang. Sehari rakyat terpaksa belanja lebih dari RM7 juta,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment