KDN nafi tangkap peserta serahan memorandum
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan berlakunya sebarang tangkapan terhadap peserta serahan memorandum di Kompleks Setia Perkasa, KDN pada Isnin seperti yang telah tular menerusi media sosial.
KDN dalam satu kenyataan media menegaskan peserta penyerahan memorandum telah dipanggil hanya bertujuan untuk memberikan keterangan polis susulan daripada laporan prosedur keselamatan yang biasa dilakukan selari dengan Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, 1959 (Akta 298).
“Laporan polis ini ialah tatacara lazim (SOP) seandainya ada sebarang insiden yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak keselamatan untuk masuk ke premis Kompleks Setia Perkasa, KDN
“Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah menerangkan perkara ini seperti kenyataan media mereka, di mana beberapa orang peserta telah dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan laporan yang dibuat,” katanya.
Menurut KDN tiada tangkapan yang telah dibuat.
KDN berkata pengguna media sosial dinasihati untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang tepat bagi mengelakkan sebarang spekulasi di samping sentiasa mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia yang sedang berkuat kuasa.
Media sebelum ini melaporkan yang Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Sevan Doraisamy diambil keterangan berhubung dakwaan beliau memasuki KDN pada Isnin tanpa pas.
Be the first to leave a comment