• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Tiada insiden pukul babit tahanan SOSMA – Saifuddin

Spread the love
Sumber Gambar: Sosial Media Facebook. Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR 13 Febuari 2025: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hasil siasatan dalaman mendapati tiada insiden tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dipukul di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Beliau berkata, perkara berkenaan dimaklumkan Ketua Pengarah Penjara yang menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap dakwaan terbabit.

“Saya menerima laporan mengenai dakwaan bahawa seorang tahanan SOSMA dipukul.

“Saya segera menghubungi Ketua Pengarah Penjara untuk mendapatkan laporan penuh. Hasil siasatan dalaman mendapati insiden penderaan tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara.

Awal hari ini, isteri kepada seorang tahanan yang ditahan di bawah SOSMA di Kompleks Penjara Sungai Buloh telah membuat laporan polis mendakwa suaminya telah dipukul.

Pengadu mendakwa dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Buloh pada malam semalam, suaminya telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak berdaya, dipercayai akibat diserang.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau menghormati hak isteri kepada tahanan SOSMA terbabit.

Beliau berkata sekiranya ada laporan, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut.

“Namun, isteri tahanan telah membuat laporan polis, dan kita menghormati haknya untuk berbuat demikian.

“Apa yang sebenarnya berlaku ialah mogok lapar oleh tahanan tersebut selama beberapa hari, menyebabkan mereka menjadi lemah secara fizikal. Ketika dibawa ke hospital, mereka terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Saya juga telah memberikan laporan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata berhubung Akta Perhimpunan Aman telah ditegaskan oleh Anwar hak rakyat untuk berhimpun kekal terjamin seperti yang termaktub dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata namun kerajaan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga.

“Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2023, sebanyak 10,000 pemakluman perhimpunan dibuat kepada polis, dengan 98 peratus perhimpunan berlangsung tanpa sekatan.

“Pada tahun 2024, lebih 7,000 pemakluman diterima, dan 99 peratus dibenarkan.

“Hanya 1 hingga 2 peratus perhimpunan menghadapi isu kerana lokasi yang tidak mendapat kebenaran pemilik premis, bukan kerana tindakan menyekat oleh kerajaan,” katanya.

Saifuddin berkata kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman bagi mengatasi isu lokasi ini.

Katanya, sementara menunggu pindaan dibuat, kerajaan akan melaksanakan moratorium terhadap penguatkuasaan Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman, yang bermaksud tiada tindakan akan diambil terhadap penganjur perhimpunan sehingga pindaan diluluskan.

“Sebagai tambahan, sepanjang tahun lalu, 1,787 kertas siasatan telah dibuka, tetapi hanya 30 kes didakwa di mahkamah, menunjukkan bahawa kerajaan tidak menyekat kebebasan rakyat untuk berhimpun,” katanya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation