Sabah negeri penerima manfaat Digital AgTech kedua tertinggi selepas Selangor

Spread the love

SANDAKAN, 16 Februari 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah Kementerian Digital (KD), telah menganjurkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah yang berteraskan kepada pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) melalui inisiatif ‘Malaysia Digital Agriculture Technology’ (Digital AgTech).

Majlis pelancaran Jelajah Malaysia Digital @Sabah telah dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, bersama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin

Menurut KD, program itu memberi fokus kepada pemodenan sektor pertanian melalui teknologi digital bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti serta mengukuhkan keterjaminan makanan negara, selaras dengan pelantikan MDEC sebagai Pengesah Teknologi Strategik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Sabah merupakan negeri penerima manfaat Digital AgTech kedua tertinggi di seluruh negara selepas Selangor. Lebih 70 sistem Digital AgTech yang diperkasakan dengan teknologi IoT telah dilaksanakan di seluruh negeri Sabah meliputi semua sub-sektor pertanian, termasuk tanaman, ternakan dan akuakultur pada tahun 2024. Tahun 2025 menyasarkan tambahan sebanyak 10 sistem, di mana 5 sistem Digital AgTech yang diperkasakan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) akan dilaksanakan untuk subsektor akuakultur dan ternakan.

“Program JMD @Sabah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk merancakkan ekosistem digital di seluruh negara. Inisiatif ini selari dengan sasaran meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25.5% daripada KDNK menjelang 2025 serta menyokong usaha mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan baharu.” kata KD.

Transformasi digital dalam sektor pertanian merupakan salah satu fokus kerajaan, selaras dengan agenda yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025, serta inisiatif di bawah Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN).

Bagi memastikan sektor tersebut berkembang secara mampan, kerajaan akan terus memperkukuhkan kerjasama erat di antara KD, KPKM, Kementerian Ekonomi, serta agensi-agensi berkaitan.

Tambah KD, MDEC selaku agensi pelaksana Digital AgTech, memainkan peranan utama dalam memastikan teknologi digital yang dibangunkan oleh rakan teknologi, memberikan manfaat kepada usahawan tani agar dapat memperkukuhkan kecekapan sektor pertanian.

“Sehingga penghujung bulan Januari 2025, lebih 600 sistem Digital AgTech telah dilaksanakan di seluruh negara, manakala sebanyak 30,000 usahawan tani telah menerima latihan untuk mengadaptasi Internet Kebendaan (IoT) dan AI dalam operasi harian.

“Inisiatif Digital AgTech yang merentasi kesemua sub-sektor pertanian utama di negara kita, membantu memperkasakan operasi pertanian melalui adaptasi teknologi pertanian digital yang berasaskan kepada data masa nyata untuk meningkatkan produktiviti, pendapatan dan mengurangkan kos operasi keseluruhan dalam usaha menangani isu keterjaminan makanan yang dipacu oleh penerapan teknologi digital.

Antara keberhasilan memberangsangkan yang telah dicapai termasuk peningkatan produktiviti sehingga 20%, peningkatan pendapatan sehingga 20% serta pengurangan kos operasi sehingga 30% ke arah memangkin transformasi digital dalam sektor pertanian dan mengukuhkan keterjaminan makanan negara kita.” kata KD.

Digital AgTech turut memberi manfaat yang menggalakkan kepada komuniti B40 serta menarik lebih ramai penyertaan golongan belia, dengan lebih 50% peserta berusia di bawah 40 tahun dan berpotensi menjana pendapatan tambahan sehingga RM10,000 setahun melalui adaptasi teknologi digital.

JMD @Sabah merangkumi sesi perkongsian impak keberhasilan pendigitalan dalam pertanian, dan sesi libat urus antara usahawan tani bersama pemegang taruh industri bagi membincangkan cabaran serta peluang dalam ekosistem Digital AgTech.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation