Kerajaan pertimbangkan keperluan tubuh mahkamah khas untuk kes Sosma
KUALA LUMPUR 19 Februari 2025: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbangkan keperluan untuk menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa dalam sesi penerangan mengenai Sosma di Dewan Rakyat berkata langkah itu akan mengelakkan mereka yang ditahan Sosma daripada menunggu terlalu lama dan menangani isu berkaitan jaminan.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada kajian semula Sosma, beliau berkata sebuah jawatankuasa khas baharu akan dibentuk untuk memperhalusi cadangan yang diterima.
Katanya, hasil penemuan jawatankuasa itu untuk meminda Sosma kemudiannya akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.
“Lagi cepat jawatankuasa ini menghasilkan dapatan, lagi cepat kita bentang. Kita ada sesi Julai hadapan.
“Biar itu menjadi satu garis masa untuk menunjukkan bahawa kesediaan kita sentiasa terbuka dalam menambah baik dasar perundangan, peraturan serta usaha bagi memperkasa aspek keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Be the first to leave a comment