Isu Kemiskinan, Peniaga Kecil Keutamaan Majukan Wilayah Persekutuan – Dr Zaliha
PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) – Isu kemiskinan bandar dan tegar serta peniaga kecil merupakan antara keutamaan dalam menggalas tanggungjawab di Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha yang menggalas jawatan itu susulan rombakan Kabinet pada Selasa lepas berkata antara fokus beliau adalah membawa misi dan visi yang sebelum ini dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perhatian ini untuk memastikan Wilayah Persekutuan terus maju dan sentosa sekali gus meningkatkan ekonomi,” katanya kepada media sebelum mengadakan taklimat bersama pegawai Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi, di sini hari ini.
Masalah penjaja dan peniaga kecil sering menjadi perhatian Anwar apabila berulang kali menyatakan bahawa pembangunan bandar tidak boleh meminggirkan golongan berkenaan termasuk penyediaan kemudahan yang bersih serta selesa.
Dr Zaliha berkata fokus lain adalah isu legasi melibatkan masalah perkampungan Kampung Baru, persediaan Wilayah Persekutuan dalam Tahun Melawat Malaysia pada 2026 serta sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan pada tahun hadapan.
Dari sudut ekonomi pula, katanya pembangunan di Labuan menjadi fokus memandangkan lawatan Anwar ke pulau bebas cukai itu pada 7 Dis lepas menyatakan pulau berkenaan perlu dimajukan sebagai hab ekonomi dan pelancongan.
– BERNAMA
Be the first to leave a comment