KUALA LUMPUR, 12 Mac 2024 – Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memaklumkan bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia yang diluncurkan pada 20 Februari 2024 bukanlah kod etika yang baharu. Sebaliknya, kod etika tersebut merupakan penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989 yang diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia, yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysian Press Institute (MPI).
Menurut Fahmi ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Tasek Gelugor ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini, Kod Etika Wartawan Malaysia itu akan diguna pakai oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai sumber rujukan dan panduan dalam pengeluaran serta penarikbalikan Kad Perakuan Media (KPM) untuk pengamal media di Malaysia.
“Sebelum ini, JaPen mengguna pakai Etika Kewartawanan Malaysia MPI tahun 1989 bersekali dengan Prosedur Tetap Operasi (PTO) KPM sebagai sumber rujukan dan panduan bagi kelulusan serta penarikbalikan KPM.
Kod Etika Wartawan Malaysia yang baru diluncurkan ini merupakan satu usaha sama Kementerian Komunikasi, JaPen, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penggubalan Kod Etika Wartawan Malaysia ini juga mengambil kira maklum balas daripada MPI, National Union of Journalists Malaysia (NUJM) dan Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (MMM).” kata Fahmi.
Tambah beliau, Kod Etika Wartawan Malaysia itu menggarap lapan etika utama iaitu:
(i) wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk;
(ii) wartawan hendaklah telus dan berintegriti;
(iii) wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi;
(iv) pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi;
(v) kesahihan dan ketetapan maklumat;
(vi) wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber;
(vii) wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka; dan
(viii) memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
“Kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebebasan pengamal media untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak yang berkepentingan. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada adalah untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam. Justeru, pihak wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih.
Kod Etika Wartawan Malaysia ini dijangka akan terus memacu media di Malaysia sebagai sumber yang dipercayai rakyat dalam memberi maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara serta memfokuskan kepada etika terhadap tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat. Wartawan juga berperanan menyuburkan kemakmuran
serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia MADANI.” kata Fahmi.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment