17 Disember 2022 – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk membentuk kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah suatu inisiatif jangka panjang untuk memastikan kestabilan politik negara berada dalam tahap terbaik dan kukuh, maka fokus kepada isu ekonomi dan rakyat dapat diutamakan.
Katanya dalam satu catatan di Facebook rasmi beliau hari ini, fokus ekonomi perlu diberikan perhatian segera lebih-lebih lagi persediaan negara mendepani suasana ekonomi yang lembap.
“Malah Bank Dunia menjangkakan peningkatan agresif terhadap dasar kadar faedah di negara-negara seluruh dunia akan membawa kepada kemelesetan ekonomi global pada 2023. Implikasinya adalah tahap permintaan akan berkurangan akibat kadar faedah yang tinggi yang seterusnya merencatkan ekonomi dunia.
Terdapat juga kemungkinan Amerika sebagai kuasa ekonomi dunia akan terjerumus dalam masalah ekonomi dan ini memberikan kesan langsung yang tidak baik kepada dunia.
Maka fokus Kerajaan Perpaduan mendepani pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara perlu mendapat keutamaan daripada berpolitik sepanjang masa.” kata Timbalan Perdana Menteri itu.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, fokus Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah mendepani pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara perlu mendapat keutamaan daripada berpolitik sepanjang masa.
Katanya salah satu langkah permulaan yang telah diambil oleh Kerajaan adalah memastikan tariff elektrik tidak meningkat untuk memastikan harga barangan dan perkhidmatan tidak terkesan.
“Banyak lagi usaha untuk membantu mengurangkan potensi kenaikan harga barang dan perkhidmatan dijangka akan diumumkan. Kesemua usaha ini perlu penelitian dan fokus terlebih dahulu untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Tempoh 5 tahun bukanlah tempoh lama untuk untuk memulihkan ekonomi negara. Maka, ketenangan politik dalam tempoh masa ini adalah penting agar rakyat Malaysia dapat bersama-sama bekerjasama dengan kerajaan untuk membina negara yang lebih baik dan kembali disegani di mata dunia.” jelas beliau.
Tambah Ahmad Zahid, Naratif Melayu dan Islam yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan jelas menunjukkan aspek yang lebih moderate dan progresif.
“Seri Perdana kini bukan lagi dilihat sebagai lingkungan elit tetapi telah menjadi medan awam terbuka bagi rakyat dengan berlangsungnya majlis dan program-program agama dan ilmiah setiap minggu.
Sudah pasti ini mencatat sejarah apabila Seri Perdana dibuka kepada rakyat biasa sebagai tempat menimba ilmu dan menjalinkan hubungan muhibbah rakyat di negara ini. Maka, jurang rakyat dan pemimpin negara dapat dirapatkan.” ujarnya.
Semalam empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama Pakatan Harapan (PH) bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment