RANAU, 14 Januari 2023 – Kerajaan negeri komited untuk terus memberikan sokongan dan bantuan kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini untuk meraikan perayaan masing-masing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sejajar dengan itu kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini untuk membekal kepala singa di seluruh Sabah.
“Bantuan itu akan diagih-agihkan kepada pelbagai persatuan dan tokong-tokong yang berkaitan melalui Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Negeri Sabah.
“Penyerahan bantuan kepala singa sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini, jelas menunjukkan komitmen kerajaan yang sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek.
“Kerajaan juga sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama, bagi memastikan rakyat dapat meraikan perayaan masing-masing,” katanya sempena ketika Majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Masyarakat Tionghua Sabah sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Persatuan Hakka, Ranau di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong Jin Tze.
Ketua Menteri berharap bantuan kepala singa ini akan memberi manfaat dan memupuk semangat kesaudaraan serta meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
“Sumbangan ini juga diharap akan memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalangan masyarakat Tionghua di daerah ini,” katanya.
Sementara itu, dalam Belanjawan 2023 Sabah, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM176.16 juta untuk melaksanakan program keagamaan dan kerohanian di negeri ini. Sebanyak RM54.05 juta merupakan pemberian kepada sekolah-sekolah dan perkembangan badan-badan keagamaan bukan Islam iaitu dengan peningkatan peruntukan sebanyak RM7.05 juta pada tahun ini.
Hajiji berkata peningkatan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat prihatin dan serius dalam membantu masyarakat di negeri Sabah tanpa mengira bangsa dan agama.
“Justeru, sempena tahun baharu ini saya mahu semua rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua akan terus bersama-sama kerajaan untuk membangun dan memajukan negeri ini, agar Sabah terus maju jaya ke hadapan,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment