SEPANG, 20 Januari 2023 – AirAsia catat muatan 100% untuk penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap sempena sambutan Tahun Baru Cina yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuching pada 12.10 pagi hari ini.
Para tetamu diraikan dengan meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) dan dihantar oleh YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan dan Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia.
Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke berkata: “Saya berbesar hati untuk meraikan rakyat Malaysia yang teruja untuk bertemu keluarga mereka sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Satu juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan AirAsia atas dedikasi mereka dalam menjadikan penerbangan pada tambang tetap ini satu realiti dan atas sokongan terhadap inisiatif kerajaan untuk memastikan tambang rendah dan berpatutan semasa musim perayaan. Di sebalik cabaran yang dihadapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AirAsia terus berusaha menjadi syarikat penerbangan untuk semua dan mengutamakan keperluan tetamunya.
“Saya berharap lebih banyak inisiatif yang sama daripada AirAsia untuk musim perayaan akan datang dan mencadangkan pemain industri lain untuk mengikutinya.”
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Kami terus mengutamakan para tetamu dan menyediakan tambang berpatutan, terutamanya pada masa istimewa ini supaya mereka boleh pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan ini bersama-sama keluarga. Saat-saat seperti ini adalah sebab mengapa kami berusaha keras untuk menawarkan perjalanan dengan tambang berpatutan.
“Walaupun kami masih menghadapi beberapa cabaran sama seperti syarikat penerbangan lain berikutan pandemik, kami tetap komited untuk mengutamakan para tetamu dengan menawarkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap.”
Penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ini tersedia untuk 10 laluan antara Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Sabah, Sarawak. Sebanyak 38 penerbangan merekodkan muatan 100% pada minggu akan datang. Selain 68 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap, AirAsia Malaysia (AK) juga mengendalikan sebanyak 314 penerbangan mingguan sempena musim perayaan.
Para tetamu yang melakukan perjalanan semasa musim perayaan ini dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan (bagi perjalanan domestik) untuk mengelakkan kesesakan. Para tetamu juga digalakkan untuk mendaftar masuk secara kendiri menggunakan airasia Super App, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh perlepasan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan.
Bagi tetamu yang mempunyai bagasi daftar masuk, kaunter Penurunan Bagasi ditutup 60 minit sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X. Memandangkan kesesakan dijangka akan berlaku bagi pemeriksaan keselamatan, daftar masuk bagasi dan imigresen, tetamu dinasihatkan untuk mendaftar masuk bagasi sebelum menuju ke pintu masuk.
Setiap tetamu (kecuali bayi) hanya dibenarkan SATU bagasi kabin DAN satu beg komputer riba atau beg tangan atau beg kecil di dalam pesawat. Jumlah berat yang dibenarkan untuk dua buah bagasi kabin mestilah tidak melebihi 7kg secara keseluruhan. Para tetamu digalakkan untuk menempah bagasi dalam talian sebelum mendaftar masuk untuk lebih penjimatan.
Para tetamu dengan tempahan berkumpulan, mobiliti terhad atau berkeperluan khas harus memperuntukkan lebih banyak masa untuk melengkapkan semua formaliti perjalanan. Untuk sebarang bantuan, kakitangan kami di lapangan terbang sedia membantu untuk memastikan perjalanan yang lebih lancar sepanjang musim perayaan ini.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment