Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli
Apabila berlaku perkembangan teknologi yang pesat khususnya di era revolusi industri 4.0, ia membawa kesan yang besar terhadap kehidupan dan budaya masyarakat. Pelbagai gajet telah dicipta dan aplikasi telah diluncurkan dari hari ke hari. Unsur disruptif yang terhasil daripada perkembangan teknologi ini telah mengubah corak interaksi dan komunikasi dalam masyarakat. Perubahan yang ketara adalah perubahan kaedah berkomunikasi dari bentuk fizikal kepada bentuk digital. Malahan, manfaat menjana pendapatan sendiri (self-generated income) yang ditawarkan melalui penggunaan media sosial baharu telah membuka ruang dan peluang kepada para pengguna.
Akibatnya ramai pengguna yang memanfaatkan peluang menjana kewangan ini dengan mencipta pelbagai kandungan. Jadi, para penulis dan pencipta kandungan ini perlu kreatif untuk memastikan hasil kreatif mereka menjadi tular dan dicapai oleh pengguna. Biasanya kandungan yang dicipta atau dikarang adalah melibatkan pelbagai tema dan isu. Ia termasuklah tema yang serius, jenaka dan seram. Ia turut merangkumi isu semasa, polemik agama, kisah keluarga dan rumahtangga, cerita seram dan hantu, topik sensual dan seksual, gosip melibatkan artis, ahli sukan dan politik, isu peribadi dan sebagainya.
Selain itu, tujuan kandungan direka adalah untuk mencari perhatian, meraih populariti dan publisiti di samping menambah jumlah pengikut dan menaikkan kadar tontonan. Dengan penularan kandungan yang direka, mereka akan diangkat sebagai pempengaruh sosial. Kemudiannya, ia dapat menjana pendapatan secara langsung jika mencapai jumlah pengikut yang ramai. Dengan itu, mereka akan menggunakan pengaruh yang diperolehi untuk pengiklanan dan pemasaran produk, malahan ada yang menjadi pengasas dan penjual produk. Tidak kurang juga terdapat pengguna yang menjadikan kandungan media sosial sebagai medium untuk mencipta berita palsu dan bohong (hoax), ujaran kebencian, bahan kontroversi, provokatif dan propaganda yang menyesatkan.
Semakin hari, pelbagai kandungan kreatif yang dicipta menimbulkan kebimbangan kalangan pengguna. Ini kerana demi kandungan (content), mereka sanggup membelakangkan panduan agama dan kesantunan sosial. Kadangkala terdapat unsur penipuan, pencurian harta intelek, menjatuhkan maruah dan mengaibkan, elemen lucah dan sensitif, dan unsur maksiat dan dosa.
Sedangkan berasaskan aturan Islam dan kesantunan sosial setempat, terdapat garis panduan yang jelas dalam mencipta kandungan khususnya di media sosial. Di antaranya adalah:
Pertama, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur yang bertentangan dengan Syarak. Misalnya, kandungan yang terdapat unsur pemujaan dan keyakinan terhadap makhluk halus, ilmu sihir, perkara khurafat dan syirik. Ia merupakan dosa yang besar kerana melibatkan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. Jangan menggadai akidah demi untuk mencipta kandungan yang tular.
Kedua, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur maksiat dan dosa. Ini kerana kandungan yang negatif akan menyebarkan suasana toksik dalam dunia digital. Umpamanya, kandungan yang mendedahkan aurat, pakaian tidak senonoh, pergaulan bebas, hubungan songsang, berpelukan, membuat tarian berlebihan, hiburan melampau, minum arak, berjudi dan seumpamanya. Kandungan yang dicipta dan disebarkan boleh menjadi dosa berangkai.
Ketiga, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur lucah seperti softporn, pornografi dan porno aksi umpama tarian gelek dan lucah. Ini kerana ia boleh merangsang nafsu seksual pengguna yang lain. Penciptaan kandungan seumpama ini adalah dilarang disebabkan ia boleh merosakkan pemikiran dan kelakuan pengguna media sosial.
Keempat, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur penipuan. Ini kerana penipuan adalah perbuatan yang dilarang tegas dalam Islam. Tidak ada istilah bohong sunat dan matlamat untuk mendapatkan trafik penonton yang ramai tidak menghalalkan suatu kandungan dengan cara menipu. Umpamanya mereka-cipta cerita dan kisah yang tidak berlaku, dan mempromosikan produk dengan penipuan testimoni.
Kelima, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah. Ini disebabkan maruah manusia adalah sebuah kehormatan, nilai dan harga diri dan perlu dijaga. Dengan itu, tidak boleh menjatuhkan maruah diri atau orang lain demi untuk menjadikan kandungan yang dicipta tular. Umpamanya kisah rumahtangga, hubungan seksual, lawak bodoh dan sebagainya. Sesungguhnya Islam sangat menjaga maruah manusia.
Keenam, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur yang berlebihan. Kadangkala kandungan seperti ini umpama memperbodohkan khalayak pengguna media sosial, pelik, tidak logik dan boleh dipertikaikan kesahihan kandungannya. Unsur berlebihan dimasukkan agar kandungan yang dicipta itu menjadi menarik dan tular. Umpamanya, kisah peribadi dan keluarga yang bersifat tertutup tetapi tersebar luas dan diperbesar-besarkan, drama marah, lakonan bergaduh dan maki bagi mencetuskan kontroversi.
Ketujuh, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur yang sumbang dan jelik. Umpamanya kandungan yang menghina dan merosakkan nama baik pihak lain, menggunakan bahasa yang kesat, kelakuan lucah dan fitnah. Kandungan ini bertentangan dengan agama dan kesantunan masyarakat timur.
Kelapan, kandungan yang dicipta tidak mempunyai unsur sensitif khususnya melibatkan elemen perkauman, agama dan institusi Diraja (3R-Race, Religion, Royalty). Ini kerana kandungan seperti ini dapat mencetuskan perbalahan dan konflik perkauman dan keagamaan yang parah. Setiap bangsa dan agama akan bangun mempertahankan kehormatan masing-masing apabila dihina dan dilecehkan oleh pihak lain. Dengan itu, sensitiviti 3R ini perlu dijaga oleh pencipta kandungan bagi keharmonian bersama.
Kesembilan, kandungan yang dicipta tidak mengandungi unsur plagiarisme dan pencurian harta intelek pihak lain. Peniruan hasil kerja orang sama ada sebahagian atau keseluruhan tanpa sebarang keizinan dan kredit ini adalah salah kerana harta intelek dilindungi. Dengan itu, pencipta kandungan perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk menghasilkan karya yang tulen. Tegasnya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak cipta kandungan badan binasa. Ini kerana jejak rakaman dapat ditelusuri walaupun telah dipadam. Justeru, berhati-hatilah dalam
mencipta kandungan, ibaratnya jarimu harimaumu. Di samping itu, carilah rezki yang halal dan kejarlah keberkatan hidup dengan mencipta kandungan yang boleh menjana pahala yang sentiasa mengalir berbanding dosa jariah.
Setiap kandungan yang dicipta akan dipertanggungjawabkan baik dari sudut perundangan, pertimbangan Syarak dan adab masyarakat. Jelasnya, Islam tidak menghalang kreativiti manusia, tetapi proses kreatif dalam usaha mencipta kandungan perlu patuh kepada aturan Syariah. Malahan, literasi digital yang baik perlu dipelajari oleh pencipta kandungan agar bahan yang dihasilkan dapat meraih perhatian dan memberi manfaat kepada pengguna di samping mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment