Cabaran membaca di era ‘gangguan’

Spread the love

Oleh: Dr. Mohd. Khairul Naim Che Nordin

Frank Swettenham dalam bukunya Malay Sketches memperihalkan orang Melayu yang suka berjudi, bersabung ayam, berburu serta menangkap dan menjinakkan gajah. Pemerihalan oleh penulis ini tidaklah perlu dinafikan namun tidak juga boleh digeneralisasikan sebegitu mudah. 22 bab yang beliau ceritakan adalah perkongsian penulis yang berdamping dengan orang kebanyakan, pawang dan pembesar tertentu. Sebaliknya jika dilihat kepada sisi keilmuan khususnya melalui perkembangan tradisi pengajian pondok di Alam Melayu, masyarakat Muslim hakikatnya mementingkan aspek keilmuan melalui proses pembacaan yang teliti serta sumber penulisan yang berautoriti. Hal ini boleh dilihat contohnya melalui tradisi pengajian pondok yang menetapkan silibus tersendiri dengan sumber rujukan terpilih yang dibaca mulai huruf pertama di kulit hadapan sehinggalah di noktah terakhir di halaman belakang. Di era sebelum industri menentukan lanskap pendidikan, menghabiskan satu teks pengajian yang memakan masa bertahun-tahun adalah suatu yang diperakui penting dalam proses menuntut ilmu.

Dr. Mohd. Khairul Naim Che Nordin

Bahkan sebelum terciptanya radio dan televisyen, masyarakat lampau mengisi masa dengan membaca, menulis, berbual bersama keluarga serta melakukan pelbagai aktiviti luar. Kerana itu tidaklah aneh terdapat penulisan fiksyen sebagai bahan hiburan dan ia sengaja ditulis panjang berjilid-jilid melalui imaginasi tersendiri penulis. Sebagai contoh penulis epik klasik, J.R.R Tolkein melalui karya terkenalnya The Lord of the Rings berhasil menulis 1214 halaman untuk kisah tersebut sahaja. Bilangan halaman ini berdasarkan cetakan oleh Houghton Mifflin yang diterbitkan semula pada tahun 1987. Sekiranya seseorang mahu menghabiskan pembacaan buku ini sekali gus dengan anggaran 250 perkataan dibaca selama satu minit, maka pembaca perlu memperuntukkan masa selama 37 jam dan 36 minit untuk membacanya tanpa henti.

Amalan membaca diperakui bermanfaat untuk manusia khususnya pada aspek peningkatan pengetahuan dalam pelbagai topik. Ia juga menjana pemikiran yang kritis dan analitis. Melalui pembacaan, minda akan menganalisis, menilai, dan mentafsirkan informasi yang terkandung pada teks. Ia juga meningkatkan daya ingatan kerana proses membaca melibatkan memori jangka pendek dan panjang. Ketika membaca, kita perlu mengingati watak, plot, dan perincian penting tertentu. Amalan ini juga meningkatkan keterampilan bahasa kerana membaca meningkatkan kemampuan berbicara, menulis dan kefahahaman linguistik melalui pendedahan kosa kata yang luas dan struktur perkataan yang tersusun. Selain itu, ia juga mampu mengurangkan stres dan memberikan ketenangan. Ini berlaku apabila ‘diri’ pembaca dilibatkan dalam penceritaan yang dibaca. Daya fokus juga dapat ditingkatkan kerana proses membaca itu sendiri memerlukan fokus yang mendalam.

Ironinya, membaca di era pengetahuan kini secara paradoksnya adalah mencabar. Di kala manusia mampu mengakses apa sahaja yang diingini di internet, peluang membaca seakan sempit akibat ‘kekangan’ yang dicipta sendiri oleh manusia. ‘Kekangan’ tersebut ialah pelbagai gangguan yang dialami manusia menerusi media sosial sehingga melahirkan fenomena ‘singkat perhatian’. Ia suatu keadaan di mana seseorang individu memiliki daya tumpuan dan daya fokus yang singkat dan terbatas. Ia berlaku apabila individu terbabit mudah ‘terganggu’ dengan sesuatu yang lain dan cepat hilang minat dengan apa yang dilakukan. Namun bagaimana boleh dihubungkan antara media sosial dan amalan membaca dengan ‘singkat perhatian’?

Ciri media sosial itu sendiri menatijahkan kurang daya perhatian pengguna. Ini berlaku apabila media sosial menyediakan kandungan pendek dan mudah dihadam (easily digestible content) secara berterusan. Platform seperti Twitter, Instagram dan TikTok direka bentuk untuk memberikan kepuasan segera kepada pengguna, menawarkan maklumat kecil (mikro) atau remeh yang boleh digunakan dengan cepat dan tanpa proses yang panjang. Jenis kandungan ini selalunya dipersembahkan dengan visual yang menarik serta imej atau video yang mampu menarik perhatian pengguna. Ia secara langsung memberi impak berikut:

1. Mengurangkan daya fokus dan perhatian: Pengguna akan secara berterusan mengakses akaun mereka untuk mendapatkan info baru serta melakukan pelbagai tugas (mengakses pelbagai platform dan web). Ia memberi kesukaran pada minda untuk fokus pada sesuatu perkara dalam tempoh yang panjang dan ini boleh menyebabkan kurangnya keupayaan untuk menumpukan perhatian, mengingati maklumat, dan menyelesaikan masalah yang kompleks. Kreativiti juga boleh terjejas apabila minda perlu membahagikan perhatiannya kepada pelbagai tugas (ketika mengakses media sosial). Ini berlaku apabila potensi minda yang sepatutnya boleh berfikir secara mendalam namun terjejas akibat perhatian dan pemikiran ditarik ke pelbagai arah serta diganggu dengan notifikasi, maklumat baru dan info tidak perlu. Akibatnya turut memberi kesan kepada kemampuan minda untuk membaca secara serius, terfokus, mendalam dan dalam tempoh masa yang panjang.

2.Meningkatkan stres: Pengguna yang sentiasa menyemak kemas kini dan merasa penting untuk terus berhubung dengan rakan siber yang lain boleh menimbulkan rasa kebimbangan dan tekanan, yang akhirnya boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti ketagihan media sosial. Penghargaan sosial pula diukur secara digital hanya pada bilangan tontonan, tanda suka, jumlah perkongsian dan lain-lain.

3.Mengubah pilihan membaca: Mereka yang terdedah kepada media sosial lazimnya lebih sukakan kandungan yang pendek dan bervisual seperti bebenang pandangan, status ringkas, catatan blog dan infografik. Mereka juga lebih cenderung membaca kandungan digital berbanding buku fizikal. Oleh kerana bahan bacaan itu sengaja ditulis ringkas, maklumat yang diperoleh tidak mendalam, kebanyakannya berpandukan sesuatu isu (yang kadang kala remeh dan tidak menjawab permasalahan sebenar), bersifat segera dan cepat juga dilupakan, serta pengetahuan yang diperoleh berfragmen atau berpecah-pecah.

Di era ‘gangguan’ kini, daya perhatian ialah suatu yang premium. Kemampuan anda membaca satu persatu perkataan tanpa melakukan ‘skimming’ terhadap karangan yang sengaja ditulis panjang ini menunjukkan anda dalam kalangan pembaca bertuah yang masih berkemahiran memberi daya tumpuan perhatian yang sewajarnya. Pemenang hadiah Nobel, Herbert Simon pernah meramalkan bahawa kekayaan maklumat akan mewujudkan kemiskinan perhatian (a wealth of information creates a poverty of attention) dan ia berlaku kini. Kemampuan meredakan perhatian singkat sudah pasti adalah dengan kembali membaca karangan yang panjang dan mendalam.

……
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di khairulnaim@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation