Sediakan tabung untuk ibadah korban

Spread the love

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Bulan Zulhijjah merupakan bulan terakhir dan penutup bagi kalender tahun Qamariah sebelum meraikan kehadiran tahun baharu. Bulan zulhijjah juga termasuk dalam empat bulan haram dan dijanjikan Allah dengan ganjaran pahala yang dilipatgandakan. Sebagai bulan penutup, Zulhijjah adalah bulan yang disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Pelbagai amal ibadat telah diatur sejak dari 1 Zulhijjah sehinggalah ke hari tasyrik pada 13 Zulhijjah.

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Salah satu ibadah yang disyariatkan dan diwariskan semenjak zaman Nabi Ibrahim AS adalah amalan mengorbankan haiwan ternakan. Ia dilaksanakan selepas solat sunat Aidil adha hinggalah sebelum terbenamnya matahari pada 13 Zulhijjah. Lazimnya haiwan yang dikorbankan adalah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Daging haiwan yang dikorbankan kemudiannya dibahagikan sama ada dalam keadaan mentah atau dimasak dan diagihkan kepada
pelbagai pihak. Ia termasuklah golongan yang kaya atau miskin.

Pada dasarnya, melaksanakan ibadah korban hukumnya adalah Sunat Mu’akkad bagi mereka yang berkemampuan. Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan teladan yang baik. Dalam sirah Nabi, telah dicatatkan bahawa Baginda telah mengorbankan sebanyak 100 ekor unta (al-hadyu) pada tahun 10 Hijrah. Dalam hadis baginda: kemudian baginda terus ke tempat sembelihan korban. Maka baginda menyembelih enam puluh tiga ekor haiwan korban dengan tangannya dan bakinya diserahkan kepada Ali untuk disembelih (HR Muslim)

Dalam hadis yang lain, baginda menekankan keperluan untuk melaksanakan ibadah korban. Sabda Nabi SAW: Sesiapa yang memiliki kelapangan, namun dia tidak berkorban, maka janganlah menghampiri ke masjid kami (HR Ahmad). Dalam hadis tersebut, orang yang berkemampuan adalah mereka yang mampu membeli haiwan korban. Ia bermakna seseorang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya sama ada
makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyrik. Larangan Nabi dari menghampiri masjid adalah sebagai gertakan dan hukuman bagi golongan yang bakhil. Hadis pertama dan kedua menjadi motivasi bagi umat Islam untuk melaksanakan ibadah korban. Dengan itu, ia perlu dibudayakan dalam diri umat Islam.

Namun apabila memasuki bulan Zulhijjah baru-baru ini, kita dikejutkan dengan laporan media tentang permintaan dan tempahan haiwan korban yang menurun secara ketara. Situasi ini menunjukkan bahawa jumlah haiwan yang bakal dkorbankan semakin berkurangan, sedangkan ibadah korban ini hanyalah disyariatkan setahun sekali. Sehubungan dengan itu, mekanisme yang terbaik dalam menjayakan ibadah ini boleh dirancang dengan sistematik. Ini kerana ada pihak yang
boleh mengeluarkan perbelanjaan korban secara sekaligus, dan ada golongan yang perlu menyimpan dan menabung bagi mencukupi jumlah wang yang dibayar untuk korban.

Tabung korban ini bukanlah suatu yang asing kerana ia telah diamalkan oleh ramai orang sejak dahulu lagi. Malahan aktiviti menabung telah menjadi budaya sebahagian besar umat Islam. Ramai yang telah menabung untuk membeli kenderaan, gajet, melancong, barangan mewah, membayar cukai jalan kenderaan dan sebagainya. Ini disebabkan jumlah wang yang besar mungkin sulit untuk dibayar secara sekaligus, tetapi dengan tabungan khas, sejumlah wang yang besar dapat
dikumpulkan.

Amalan menabung untuk ibadah korban ini wajar dibudayakan dalam masyarakat Islam agar ia menjadi tradisi keluarga. Penabungan ini penting agar hasilnya dapat dituai di hujung tahun Hijrah. Jika tidak, ibadah korban ini akan menjadi amalan eksklusif bagi golongan kaya semata-mata, tetapi bagi kelompok selain daripada fakir dan miskin hanya sekadar menjadi pemerhati sahaja. Sedangkan ia adalah ibadah yang dijanjikan pahala yang sangat besar oleh Allah SWT.

Memang tidak dapat dinafikan, harga haiwan korban semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ia bergantung kepada saiz dan kuantiti daging haiwan. Secara puratanya, bagi haiwan korban di Malaysia, bagi satu bahagian lembu adalah lebih kurang RM700 hingga RM900, dan bagi kambing pula adalah lebih kurang RM700 hingga RM1,000. Jumlah bayaran korban ini mungkin besar bagi golongan fakir miskin tetapi bagi mereka yang berada di luar lingkaran tersebut boleh menyimpan
secara bulanan untuk bersama-sama memenuhi tuntutan ibadah korban.

Hukum menabung untuk ibadah korban adalah diharuskan kerana tiada dalil yang melarangnya dengan jelas. Ia adalah wasilah untuk melaksanakan ibadah korban. Sepertimana kaedah fiqh: hukum bagi wasilah atau cara, baginya adalah sama dengan hukum tujuan yang hendak dicapai. Selain itu, dalam Irsyad al-Fatwa oleh Pejabat Mufti Wilayah siri ke 77 menyatakan ibadat korban tetap sah walau dilakukan dengan cara berhutang, tetapi tidak digalakkan jika membebankan.
Menurut fatwa Darul Ifta’ Mesir, bilangan 7155, hukum berkorban adalah sunat mu’akkad dan harus berhutang sekiranya seseorang itu tahu kemampuan dirinya untuk membayar hutang, sebaliknya jika tidak mampu bayar, maka tidak diharuskan untuk berhutang.

Sehubungan dengan itu, amalan menabung ini boleh menggunakan beberapa mekanisme yang bersesuaian. Di antaranya:

a)Membuat inisiatif tabungan korban secara individu bermula dari awal tahun di bulan Muharram secara konsisten. Wang pendapatan bulanan disisihkan dalam tabungan atau akaun khas.

b)Membuat kutipan secara berkelompok dan secara beransur-ansur bagi mencapai target jumlah tertentu sama ada bersama ahli keluarga atau jiran tetangga dan masyarakat yang ingin melaksanakan ibadah korban.

c)Menyimpan dalam bentuk emas kerana harganya lebih stabil, sentiasa naik dan kalis inflasi. Jadi ia boleh dijual apabila menjelang hari raya korban tanpa susut nilai.

Tegasnya, amalan menabung untuk melaksanakan ibadah korban perlu dibudayakan agar ia menjadi agenda tahunan bagi keluarga Muslim. Ia juga sebagai tanda kesyukuran atas rezki yang Allah anugerahkan sepanjang tahun. Manifestasinya adalah melalui perkongsian rezki dengan melakukan sembelihan korban dan disedekahkan untuk diagihkan daging segar kepada golongan fakir miskin, orang kaya, anak yatim dan jiran tetangga.

……
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation