Harakah, sidang pengarang dan pucuk pimpinan PAS perlu segera bertaubat – Teo Nie Ching

Spread the love

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata beliau berasa ‘kasihan’ melihat bagaimana terdesaknya parti PAS yang terus menerus membina naratif palsu demi menyerang ketokohan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Nie Ching dalam satu kenyataan hari ini, walaupun PAS begitu bangga mendabik dada dengan ‘Gelombang Hijau’, parti ini masih begitu laparkan publisiti murahan berasaskan fitnah dan kepalsuan, seolah-olah ia tidak akan kenyang dengan politik fitnah dan adu-domba yang diamalkan.

“Hanya kerana mahu menang dalam perdebatan atas talian, seolah-olah tidak ada kerja lain yang boleh dilakukan, lidah rasmi parti PAS tiba-tiba mencetuskan fitnah kononnya gambar Anwar Ibrahim mengangkat tangan kepada penyokong dengan mata yang lebam pada tahun 1998 adalah kerja suntingan.

Ini tidak lain untuk mengangkat profil Datuk Seri Hj Sanusi Md Nor, yang mengajuk gaya terbabit ketika didakwa di mahkamah tempoh hari. Tindakan Harakah ini adalah sangat kebudak-budakan dan memalukan profesyen kewartawanan.

Ledakan reformasi 1998, serta kes mata lebam Datuk Seri Anwar mendapat liputan antarabangsa dan dirakamkan oleh saksi-saksi mata puluhan malah ratusan ribu penyokong, walaupun ketika itu belum ada media sosial dan capaian internet yang cekap.” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital itu.

Tambah beliau, langkah Harakah dan PAS untuk menjadikan hal ini sebagai modal politik bagi menyerang legasi gerakan reformasi yang mereka sendiri sertai ketika itu adalah sangat memalukan, dan menghina memori Almarhum Ustaz Fadzil Noor, presiden PAS ketika itu yang berada di baris hadapan pergerakan terbabit.

“Sebegitu mudahkah PAS mahu cuba mengubah sejarah demi manfaat politik populis media sosial, sehingga sanggup menimbulkan fitnah dan menggelarnya pendedahan eksklusif?

Tiadakah akal budi yang waras untuk menyedari bahawa pengamal media boleh melakukan semakan fakta secepat kilat, dan mengesahkan bahawa gambar ikonik tersebut diambil oleh jurugambar Ed Wray dari agensi berita Associated Press, dan disahkan lagi oleh demikian ramai wartawan dan jurugambar yang turut membuat liputan ketika itu.

Harakah sewajarnya memohon maaf kepada para pengamal media veteran yang menjadi saksi kejadian, selain memohon maaf kepada jurugambar terbabit kerana telah memfitnah hasil kerja beliau. Bukan itu sahaja, Harakah wajar membuat permohonan maaf terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia atas usaha dangkal untuk cuba memperbodohkan khalayak umum.” kata Nie Ching.

Beliau turut mencadangkan agar Harakah, sidang pengarang dan pucuk pimpinan PAS segera bertaubat dan insaf daripada kerja-kerja menjaja fitnah di zaman teknologi tinggi ini.

“Pada akhirnya nanti, PAS dan juak-juaknya juga akan dilondehkan sebagai pemfitnah terbesar akhir zaman.” ujarnya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation