Kerajaan tidak akan tambat ringgit

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 November 2023 – Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit dan langkah seiringnya iaitu kawalan pertukaran mata wang asing yang pernah dilakukan semasa negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998 kerana ia bukan merupakan penyelesaian yang tepat untuk cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan 2, Steven Sim di Dewan Rakyat hari ini, sebab pertama adalah ekonomi dan sistem kewangan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik pada masa kini untuk menghadapi turun naik
pasaran kewangan global dan pergerakan kadar pertukaran.

“Keduanya, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit. Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar AS, kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di AS. Tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada rakyat.

Ketiga, bagi mengekalkan tambatan, kita akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar. Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit. ” kata beliau.

Justeru, sekiranya langkah itu diperkenalkan sekarang, kesan negatifnya terhadap keyakinan pelabur akan melibatkan kos yang sangat tinggi dan boleh menjejaskan aliran modal kerana Malaysia mempunyai pasaran modal yang jauh lebih besar berbanding tahun 1998.

“Oleh yang demikian, sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur. Bagi menangani risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS, Kerajaan melalui BNM akan terus mengurus risiko
daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.” ujarnya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation