• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Dato’ Sri Aidi bersara wajib selepas 36 tahun bersama PDRM

Spread the love

Sumber : Facebook rasmi PDRM

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2023 – “Khidmatmu dijulang, baktimu dikenang”, itulah ungkapan terbaik buat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Sri Aidi Ismail yang bakal menjalani persaraan wajib pada 1 Januari 2024, setelah hampir 36 tahun menabur bakti dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dato’ Sri Aidi secara rasmi pagi tadi menyerahkan jawatan Pengarah JPJKK kepada penggantinya, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dalam Majlis Serah Terima Tugas yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Dato’ Sri Aidi yang dilahirkan pada 1 Januari 1964 merupakan anak jati Kuala Terengganu dan telah menyertai PDRM sebagai Kadet ASP pada 5 Jun 1988.

Beliau yang berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia dan Master of Science (Operations and Supply Chain Management) dari Liverpool University, United Kingdom, pernah diamanahkan memegang beberapa jawatan penting dalam PDRM.

Antaranya sebagai Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada tahun 2013, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman (2015), Ketua Polis Terengganu (2017), Pesuruhjaya Polis Sarawak (2020) dan terakhir, sebagai Pengarah JPJKK pada 2022.

Sementara itu, dalam majlis serah terima tugas yang berlangsung, acara dimulakan dengan pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Datuk Wan Hassan dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, Dato’ Mohd Roze Shaari seterusnya menandatangani serta pertukaran dokumen serah terima tugas antara Dato’ Sri Aidi dengan Datuk Wan Hassan, disusuli penyerahan tongkat kuasa.

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JPJKK di antara Datin Sri Raja Asaudat Raja Muda dengan pengganti beliau, Datin Sarihah Jusoh sambil disaksikan oleh Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin.

Dato’ Sri Ayob Khan dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan Dato’ Sri Aidi yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam mengemudi JPJKK dan pastinya kehilangan beliau sangat dirasai oleh warga kerja.

“Umpama hilangnya sebutir permata berharga, persaraan Dato’ Sri Aidi pastinya diingati oleh warga PDRM yang pernah bertugas bersama-sama beliau. Mewakili barisan Kepimpinan Tertinggi Pasukan, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Sri atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama hampir 36 tahun bersama Pasukan keramat ini,” tambah beliau lagi.

Lebih bermakna dalam majlis yang diadakan, KPN, IG Tan Sri Razarudin Husain turut menyampaikan ucapan khas buat Dato’ Sri Aidi melalui rakaman video kerana beliau tidak berada di dalam negara.

Pada sebelah petangnya pula, telah berlangsung Majlis Paluan Berundur di Dataran Kawad PULAPOL Kuala Lumpur sebagai penghargaan Pasukan atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Dato’ Sri Aidi dan suri hatinya, Datin Sri Raja Asaudat.

Hadir sama, barisan Pengarah PDRM bersama isteri, barisan Timbalan Pengarah dan Ketua Penolong Pengarah PDRM, pegawai-pegawai kanan, ahli-ahli PERKEP serta rakan-rakan media.

Jurugambar: PDRM RMP TV

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation