29 DIsember 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa keadaan COVID-19 di negara adalah terus terkawal dimana kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi satu kenyataan hari ini, kadar kemasukan pesakit yang menghidap COVID-19 ke dalam hospital dan kadar kematian kekal pada tahap rendah.
“Untuk Minggu Epid ME-51 (17 – 23 Disember 2023), kadar kemasukan pesakit yang menghidap COVID-19 ke dalam hospital adalah pada 0.5% dan kadar kematian 0.08% . Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah.”katanya.
Tambah beliau, sehingga kini, tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia. Katanya, varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron, dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1. Subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.
“Virus COVID-19 akan terus berada bersama kita (living with the virus) sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan (life and livelihood) semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit.” kata Dr. Dzulkefly.
Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri (pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan, melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera), melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk COVID-19 di sumber yang boleh dipercayai.
Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa. Dengan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, situasi COVID-19 di negara ini akan kekal terkawal.” ujar beliau.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment