PUTRAJAYA, 9 Januari 2024 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan satu operasi Ops Gegar dan Ops Dandan pada 7 Januari 2024 di 7 lokasi sekitar Johor Bahru, Johor. Operasi bermula sekitar jam 3.20 petang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor.
Menurut Ketua Pengarah JIM, Dato’ Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan hari ini, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah diatur gerak ke premispremis dan menahan 14 orang warganegara Indonesia terdiri daripada 13 orang perempuan dan seorang lelaki, 16 orang perempuan warganegara Vietnam, seorang lelaki warganegara Filipina, 34 orang warganegara Myanmar terdiri daripada 24 orang lelaki dan 10 orang perempuan serta seorang lelaki warganegara Pakistan.
Katanya, kesemuanya berusia antara 19 hingga 42 tahun. Seorang lelaki warganegara Malaysia dan seorang perempuan warganegara Vietnam berusia 51 tahun dan 32 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan. Jumlah keseluruhan yang telah ditahan adalah seramai 68 orang.
“Hasil semakan awal mendapati warganegara asing ini menggunakan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki untuk bekerja dengan majikan atau syarikat yang lain di negara ini. Manakala terdapat warganegara asing lain yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.” kata Ruslin.
Pasukan operasi turut merampas satu gugus kunci premis, 6 naskhah pasport Vietnam, 19 helai tuala, 7 set peralatan mengurut, 2 set peralatan perawatan kuku, sebuah telefon pintar jenama Samsung, beberapa buku rekod pelanggan dan wang tunai berjumlah RM844.00.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata bahawa premis-premis itu dipercayai telah beroperasi lebih 1 tahun dan mampu menjana pendapatan sebanyak sekitar RM140,000.00 sehari dan boleh mencecah RM4.2 juta sebulan. Warganegara asing yang bekerja di premis-premis itu telah dibayar gaji antara RM1500.00 hingga RM2000.00 sebulan oleh majikan.
Tambah beliau, kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor. Manakala seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. Seorang wanita warganegara Vietnam ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b), Peraturanperaturan Imigresen 1963. Sebanyak 13 Notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment