Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Malaysia-Brunei Forum (MBF 2023) pada 13 dan 14 Disember 2023. Forum ini ialah kerjasama antarabangsa yang ke-5 di antara UM dan UBD. Tema utama forum ini adalah “Resilience and Transformation: Navigating Contemporary Challenges in Southeast Asia”, di mana, peserta forum bersama-sama membincangkan cabaran kontemporari di Asia Tenggara. Manakala sub tema forum merangkumi budaya, masyarakat, tamadun, ekonomi, politik dan pengantarabangsaan, pembangunan lestari dan kesejahteraan sosial, media, komunikasi dan inovasi.
Program ini telah dirasmikan Timbalan Dekan (Penyelidikan), Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM selaku Pengerusi dan Penganjur Program Malaysia Brunei Forum (MBF 2023) iaitu Prof. Madya Dr. Helena Muhamad Varkkey. Seramai 43 orang ahli akademik yang merangkumi pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah di dua buah universiti iaitu UM dan UBD telah menyertai forum ini. Forum ini telah dimulakan dengan ucaptama ucaptama yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Emeritus Dr. Ranjit Singh dan diteruskan dengan sesi pembentangan oleh 37 orang pembentang.
Antara tajuk pembentangan adalah The Impact of Environmental Behavioural Factor in Managing Waste, Influence of Research and Publication on the Preservation of Malay Intellectuality dan Novel and Nation in Brunei Darussalam. Forum yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang kepada ahli akademik yang terdiri daripada para pensyarah, para penyelidik dan para pelajar pascasiswazah di peringkat Sarjana dan PhD membentangkan hasil penyelidikan mereka. Ia seterusnya dapat membolehkan para peserta bertukar pandangan berkaitan dengan isu-isu semasa di negara serantau.
Forum ini juga bermatlamat untuk menggalakkan kerjasama penyelidikan antara kedua-dua buah universiti pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, forum ini diharapkan dapat menyebarluaskan maklumat berkaitan dengan kajian penyelidikan yang telah dijalankan kepada anggota masyarakat di seluruh dunia. Forum ini diadakan selaras dengan visi UM iaitu universiti bertaraf global yang dapat memberikan impak pada dunia dan misi UM iaitu melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi. Ia diharapkan menjadi aspirasi kepada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah untuk saling bertukar pandangan, berkongsi kepakaran, pengalaman dalam pengajaran dan penyelidikan. Forum ini merupakan salah satu inisiatif UM dan UBD sejak tahun 2014 lagi.
Pengerusi forum ini, Prof. Madya Dr. Helena Muhamad Varkkey yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan), Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaymemaklumkan bahawa, forum ini adalah bertujuan mengukuhkan lagi ikatan kerjasama akademik di antara dua buah negara. Perbincangan di dalam forum ini diharapkan dapat meluaskan idea dan inovasi yang bersifat transformatif dan informatif seterusnya menjadi platfom kolaboratif dalam perkongsian di antara dua buah negara.
Perbincangan yang dijalankan dalam sesi pembentangan diharapkan dapat mengemukakan pandangan dan cadangan untuk kedua-dua negara berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang berlaku di negara-negara Asia Tenggara terutamanya di Malaysia dan Brunei. Manakala menurut pandangan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud, forum sebegini harus diteruskan untuk membina hubungan baik di antara UM dan UBD terutamanya usaha sama dalam aktiviti pertukaran pelajar, pertukaran ahli
akademik, penyelidikan dan seterusnya dapat memberikan impak yang besar bagi kedua-dua buah negara. Bukan itu sahaja, forum ini diharapkan dapat memupuk kerjasama antara disiplin ilmu, menjana ilmu pengetahuan di antara negara Brunei dan Malaysia.
Sementara itu, Dr. Asbah Razali dan Dr. Rosya Izyanie Shamshudeen yang merupakan sekretariat dan peserta forum ini berharap agar forum akademik seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja bersifat informatif, tetapi juga dapat memupuk jalinan sosial yang baik di antara kedua-dua buah universiti. “Perbincangan yang diadakan oleh dua buah universiti ini diharapkan dapat menyumbang kepada kemajuan ahli akademik berkongsi kepakaran, pengalaman dan perbincangan intelektual seterusnya memupuk hubungan kerjasama jangka panjang yang bermakna di antara kedua-dua institusi ini,” kata Dr. Asbah.
Antara perkara menarik yang dimasukkan di dalam forum ini adalah sesi perbincangan atau bengkel pelajar pascasiswazah turut dijalankan bagi membolehkan para peserta bertukar pandangan. Ia diharapkan dapat membantu para pelajar peringkat tertinggi untuk meningkatkan daya pemikiran mereka dengan lebih luas di samping dapat membantu meningkatkan keyakinan diri berhadapan dengan ahli akademik dan masyarakat umumnya.
Forum turut mengisi ruang pada malam hari dengan majlis makan malam bersama-sama dengan Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Puan Megawati Karim, Timbalan Pengarah Pendidikan, Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam dan wakil penaja utama forum, Ahmad Syukry Ibrahim dari Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd dan majlis makan malam diakhiri dengan beberapa persembahan tarian kebudayaan.
Secara kesimpulannya, forum ini diharapkan dapat memupuk jalinan sosial di antara kedua-dua buah negara seterusnya dapat membina rangkaian yang bersifat informatif pada masa akan datang. “Forum ini juga diharapkan dapat memberikan impak positif bagi kedua-dua buah negara seterusnya mewujudkan kolaborasi dalam semua aspek seperti pertukaran para pensyarah, pertukaran pelajar, penyelidikan dan juga pengajaran. Semoga usaha kedua-dua buah universiti dalam menjalinkan hubungan akademik sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Dr. Asbah mengakhiri perbualan.
……
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Asbah Razali di asbahrazali@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment