Oleh: Dr. Maria Mohd Ismail, Dr. Norli Anida Abdullah, Dr. Adilah Abdul Ghapor
Tema Wacana Pemikir Global di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada Isnin 22 Januari yang lalu jelas mengundang pelbagai persepsi dan tanda tanya dalam kalangan para intelek dan masyarakat keseluruhannya. Wacana gilang gemilang yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim sarat dengan mesej-mesej positif mengenai pembentukan mutu pendidikan negara, isu kemiskinan, pembentukan akhlak dan pembangunan manusiawi yang harus diberikan penekanan dalam pembentukan sebuah tamadun yang berjaya.
YAB Perdana Menteri meneruskan ucapannya dengan menzahirkan kepentingan dan keperluan mendesak dalam pembentukan tatakelola yang telus yakni bebas dari rasuah dalam melakar transformasi negara dan bangsa. Saya dan rakan-rakan teruja dengan ungkapan YAB yang berbunyi “…dalam kita menggapai langit meneroka teknologi baru, janganlah kita lupa mengakar ke bumi agar jati diri, kemanusiaan dan akhlak kita tidak pernah hilang…”.
Persoalannya, apakah Malaysia memerlukan visi 100 tahun?
Merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, visi didefinisikan sebagai tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan. Jelasnya visi 100 tahun yang didasarkan oleh Kerajaan Perpaduan berada dilandasan yang betul seandainya pembentukan jati diri dan manusiawi menjadi penanda aras dalam pembangunan negara.
Saya tertarik dengan ungkapan oleh pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz di mana beliau mencadangkan pembentukan gagasan “100 Tahun Malaysia Merdeka” dalam menangani cabaran masa depan dan kini. Beliau turut menzahirkan bahawa 100 tahun merupakan kayu ukur kepada kedudukan bangsa dan tercapai atau sebaliknya sebuah peradaban. Beliau menekankan kepentingan identiti negara dan bangsa dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Bagi mendukung kefahaman ini, sejarah bangsa dan agama dalam silibus pendidikan harus diselarikan di pelbagai peringkat pendidikan. Tambah beliau lagi, kita perlu menjadikan cara hidup bangsa dan agama sebagai budaya hidup bernegara. Konsep Madani yang jelas dalam pembentukan akhlak dan jati diri bangsa dan negara menjadi tonggak kepada kemajuan dan pembangunan Malaysia secara dasarnya.
Mengambil iktibar dari pelaksanaan Wawasan 2020 yang menjadi penanda aras kemajuan dan pembangunan negara yang digagaskan pada tahun 1990, kita menyaksikan bagaimana dasar sehebat ini yang dirancang dalam tempoh masa lebih 20 tahun tidak berjaya dicapai keseluruhannya. Keperluan dan kepentingan perancangan yang teliti dan berpaksikan akar umbi segenap lapisan masyarakat secara inklusif sama ada di bandar mahupun di desa ternyata memerlukan jangka masa yang panjang.
Jati diri dan akhlak yang menjadi dorongan konsep Madani dalam pembentukan tamadun yang bukan sahaja mempunyai nilai yang tinggi tapi juga mampu menguasai ilmu sains dan matematik selari dengan arus kemodenan dan teknologi tinggi. Pendidikan adalah satu pelaburan yang tidak ternilai dalam pembentukan pembangunan sesebuah negara. Menerusi Dasar Pendidikan yang jelas, nilai dan moral dapat disemai dalam kalangan pelajar seawal peringkat pra sekolah. Selari dengan visi 100 tahun dan konsep Madani yang menitikberatkan soal nilai, akhlak dan jati diri maka wajar untuk kerajaan mengambil langkah yang tuntas dalam mentransformasi Dasar Pendidikan Negara sedia ada agar generasi kini dipupuk dengan nilai dan moral yang tinggi. Kejayaan perlaksanaan ini akan dapat diwarisi dan diraikan oleh generasi akan datang sekiranya kita mengambil langkah pertama dalam pembentukan visi 100 tahun ini mulai sekarang.
Pembentukan nilai, akhlak dan jati diri ini bukan sahaja penting dalam lapisan masyarakat yang harus dimulai diperingkat sekolah khusunya dalam kalangan pelajar tetapi harus juga di hadam dan dipraktiskan oleh pemimpin-pemimpin negara. Kepimpinan yang berlandaskan tatakelola yang baik berserta nilai murni yang dizahirkan menerusi keperibadian dan kepimpinan seseorang pemimpin pastinya memberi impak luar biasa kepada sistem pentadbiran negara secara keseluruhannya.
Kesimpulannya, pelaksanaan visi 100 tahun memerlukan penglibatan jitu segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa dan agama serta sokongan padu dari kerajaan pemerintah mahupun pembangkang. Matlamat utama visi ini tidak boleh berpaling dari prinsip Rukun Negara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Langkah proaktif dan kesungguhan yang berterusan dalam menjayakan visi 100 tahun ini harus bermula segera dengan kefahaman yang sama oleh semua.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
Dr. Maria adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi; Dr. Norli Anida dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya; dan Dr. Adilah dari Jabatan Sains Pemutusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di maria.ismail@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment