Struktur semula dasar keterjaminan makanan kita

Spread the love

Oleh: Dr. Adilah A. Wahab

Di sebalik pengukuhan dan kerjasama strategik yang giat dijalankan oleh kerajaan dalam mempromosikan minyak kelapa sawit secara global, isu keterjaminan makanan yang berkait dengan bahan makanan utama rakyat Malaysia seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan dan hasil laut masih kurang diberi perhatian. Kita perlu sedar bahawa isu keterjaminan makanan wujud apabila rakyat tidak mempunyai akses fizikal dan ekonomi kepada makanan selamat dan berkhasiat yang mencukupi dan memenuhi keperluan diet untuk kehidupan yang aktif dan sihat. Kini didapati harga sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar meningkat antara 50 sen hingga RM4 sekilogram (kg). Para penjual menyatakan kenaikkan harga ini adalah berikutan kekurangan pengeluaran yang tidak dapat menampung permintaan yang tinggi.

Dr. Adilah A. Wahab

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan indikator nisbah sara diri (SSR) untuk melihat keupayaan sesuatu pengeluaran bahan makanan bagi sesebuah negara mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik. Didapati tren penurunan SSR untuk tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai nilai penggunaan per kapita yang tinggi di Malaysia seperti limau nipis (2021:82.4%, 2022:75.9%), sawi (2021:97.0%, 2022:95.9%), pisang (2021:102.6%, 2022:99.3%), nenas (2021:104.3%, 2022:102.5%), betik (2021:146.9%, 2022:142.3%) dan tembikai (2021:139.5%, 2022:131.9%). Bukan sahaja hasil tanaman yang menunjukkan penurunan SSR tetapi hasil ternakan dan hasil laut seperti daging lembu (2021:18.9%, 2022:14.7%), ikan tenggiri (2021: 100.7%, 2022:78.2%) dan udang (2021:100.4%, 2022:96.5%) juga mempamerkan tren penurunan. Apabila berlakunya penurunan SSR, pengeluaran domestik tidak dapat menampung permintaan domestik dan ianya mengakibatkan kenaikan harga di pasaran yang seterusnya memberi impak kepada rakyat Malaysia.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan dua dasar penting, iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030. Walau bagaimanapun, untuk tahun kedua (2022) implementasi dua dasar tersebut, statistik SSR Malaysia masih menunjukkan ketidakstabilan. Jika status SSR ini menunjukkan ketidakstabilan dalam jangka masa yang panjang ianya akan memberi impak kepada permintaan domestik dan seterusnya mewujudkan rakyat yang kelaparan dan kekurangan zat makanan. Justeru itu, terdapat tiga strategi penting yang boleh digunakan untuk menambah baik dasar keterjaminan Malaysia, meningkatkan SSR Malaysia dan seterusnya mengurangkan isu keterjaminan makanan Malaysia.

Strategi pertama adalah meningkatkan penanaman dan ternakan bersasar untuk produk tanaman, ternakan dan hasil laut yang mempunyai nilai purata penggunaan per kapita yang tinggi, seperti limau nipis, daging lembu dan ikan tenggiri. MARDI telah menjalankan usaha yang baik meningkatkan tanaman bawang merah yang mempunyai nilai purata penggunaan 17kg setahun. Namun peningkatan tanaman dan ternakan produk bersasar yang lain seperti limau nipis, sawi, pisang dan nenas juga perlu dilakukan untuk menampung permintaan domestik.

Keduanya, sistem pelarasan tanaman dan pengaktifan tanah ladang perlu dilakukan. Dengan wujudnya sistem ini, para petani akan lebih fokus dan teratur dalam menyusun tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran untuk setiap musim. Juteru itu, tanah hasilan petani tidak akan terbiar untuk musim-musim tertentu dan sentiasa aktif dalam penanaman. Taiwan telah pun menjalankan sistem ini, yang dipanggil “Adjusting the Cropping System and Revitalizing Farmland”. Petani mereka diwajibkan untuk memenuhkan tanaman untuk satu tahun musim penanaman, dan mereka hanya dibenarkan untuk mengosongkan tanah tanaman mereka selama satu musim tanaman untuk setahun. Dengan wujudnya sistem ini pada tahun 2011, Taiwan mendapati pengurangan sebanyak 41 peratus untuk tanah yang terbiar tanpa tanaman pada tahun 2015.

Strategi ketiga adalah memberi penekanan kepada pembinaan kapasiti untuk penyimpanan hasil tanaman dan ternakan agar ianya dapat menampung permintaan domestik. Pelan pembinaan kapasiti silo untuk bijirin telahpun dilaksanakan oleh China dan Taiwan. China menggunapakai konsep “menyembunyikan bijirin dalam tanah dan menyembunyikan bijirin dalam teknologi”. Yakni, mereka menekankan kepentingan pembinaan kapasiti simpanan tanaman dan bukan hanya menumpukan pada sasaran pengeluaran bijirin. Dengan itu tiada permasalahan dari segi penyimpanan hasil tanaman atau kekurangan pengeuaran sewaktu musim banjir. Taiwan yang telah menggunapakai silo yang bersuhu rendah untuk menyimpan bijirin telah menunjukkan peningkatan simpanan bijirin sebanyak 7.8 peratus setahun.

Kesimpulannya, untuk menangani isu keterjaminan makanan di Malaysia, kerajaan harus mengkaji semula dasar keterjaminan makanan semasa dan mempertimbangkan peningkatan tanaman dan pengeluaran untuk produk bersasar yang mempunyai nilai purata penggunaan per kapita yang tinggi, mewujudkan sistem pelarasan tanaman dan pengaktifan tanah ladang dan memberi penekanan kepada pembinaan kapasiti untuk penyimpanan hasil tanaman dan ternakan.

Sebagai tambahan kepada tiga strategi utama, adalah penting untuk melihat faktor pertumbuhan populasi rakyat Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jumlah penduduk Malaysia pada 2023 ialah 33.4 juta, jika dibandingkan dengan tahun 2022 ialah 32.7 juta. Kajian menunjukkan pertumbuhan populasi memberikan impak kepada keterjaminan makanan Malaysia. Salah satu faktor yang menyebabkan pertumbuhan populasi rakyat Malaysia adalah disebabkan peningkatan bilangan bukan warganegara sebanyak 20% pada tahun 2023, dari tahun sebelumnya. Dalam menangani isu keterjaminan makanan, menyekat pertumbuhan populasi adalah satu langkah yang tidak wajar. Tetapi rakyat Malaysia perlu mengubah cara penghasilan dan pengambilan makanan. Diet yang berasaskan tumbuhan dapat mewujudkan populasi yang lebih sihat dan membantu menangani perubahan iklim dan persekitaran.

Oleh itu, kerajaan juga perlu mengambilkira aspek pertumbuhan populasi yang akan meningkatkan permintaan domestik. Justeru itu peningkatan SSR adalah penting bagi mencapai permintaan domestik dan seterusnya menangani isu keterjaminan makanan Malaysia. Kerajaan dan institusi yang terlibat perlu berganding bahu dalam menyelesaikan isu ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di adilahw@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation