Oleh: Prof. Madya Dr. Aizan Ali@Mat Zin
Kehidupan di era kecerdasan buatan menyaksikan masyarakat aktif bermusafir dan melancong ke serata Negara bagi memenuhi pelbagai kehendak dan keperluan. Jika suatu ketika dahulu manusia bermusafir atas urusan kerja, perniagaan, pengajian, rekreasi dan ziarah menziarahi sesama insan, namun pada hari ini, ahli masyarakat bermusafir semata-mata mencari tempat makanan dan minuman yang diviralkan melalui media sosial. Jarak yang jauh bukan lagi isu dan kekangan dengan kemudahan lebuhraya dan kenderaan yang dipacu pantas menuju destinasi pilihan. Ia salah satu alternatif bagi masyarakat kini “healing” di hujung minggu.
Perkataan “healing” menitir di bibir masyarakat tidak kira bangsa, agama, peringkat umur dan jantina. Tanggungjawab dan bebanan tugas harian semakin bertambah saban hari telah menekan jiwa dan menjejaskan kesihatan mental masyarakat. Justeru, ia perlu ditangani secara individu dan kolektif. Setiap individu bertanggungjawab menjaga kesihatan mental, dan perlu disokong oleh institusi keagamaan seperti masjid bagi masyarakat Islam. Apakah kaitan masjid dengan kesihatan mental? Wujudkah intervensi institusi masjid dalam kelestarian kesihatan mental? Ramai yang meragui dan menafikan fungsi masjid dalam kelestarian kesihatan mental. Malah mereka menganggap terma “kesihatan mental” hanya berkaitan rapat dengan institusi Kementerian Kesihatan Malaysia. Tambahan pula, terdapat segelintir masyarakat yang memahami terma kesihatan mental sebagai tidak siuman, sakit otak, dan gila. Ia berdasarkan definisi perkataan “mental” dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kesihatan mental berdasarkan definisi ilmu perubatan dan agama mempunyai titik persamaan dan perbezaan yang jelas jika diteliti secara analitikal dan kritikal. Kementerian Kesihatan Malaysia menjelaskan bahawa kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ia juga merangkumi tiga aspek utama iaitu cara berfikir, merasa dan bertindak, cara menghadapi masalah dan mengatasinya, dan cara berinteraksi dengan orang lain. Seseorang individu dikategorikan dalam kelompok yang terganggu kesihatan mental apabila mengalami kemurungan, kecelaruan kebimbangan umum, kecelaruan panik, kecelaruan obsesif kompulsif, kecelaruan stres selepas trauma dan gangguan tidur (Portal Kementerian Kesihatan Malaysia).
Sehubungan dengan ini, agama Islam telah menegaskan kepentingan dan kewajipan menjaga akal yang terkandung dalam lima prinsip maqasid syariah: jaga agama, jaga nyawa, jaga akal, jaga keturunan, dan jaga harta. Setiap individu bertanggungjawab menjaga akal dan dilarang merosakkannya dengan apa juga perbuatan yang mengundang gejala kerosakan intelek. Penjagaan agama, nyawa, keturunan dan harta hanya boleh dilaksanakan jika seseorang individu Muslim mempunyai kesihatan mental yang baik. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! jangan kamu dekati solat dalam keadaan kamu mabuk.
Mabuk akibat penggunaan arak akan menjejaskan kestabilan mental dan menggugat kesejahteraan masyarakat awam. Contohnya, kes pemandu mabuk yang melanggar pengguna jalan raya yang lain dan mengakibatkan kecederaan kekal mahupun kematian. Ahli keluarga akan mengalami trauma dan kemurungan akibat kecuaian dalam menjaga akal, nyawa dan harta.
Justeru, institusi masjid yang merupakan hub ibadah, pendidikan, dan sosialisasi telah memainkan peranan penting dalam intervensi kelestarian kesihatan mental melalui aktiviti solat, zikir, doa, sesi-sesi pengajian, gotong royong ibadah korban dan sebagainya. Kesejahteraan mental, emosi dan spiritual berkait rapat dengan amalan kerohanian dan interaksi sosial. Pengisian sesi-sesi kuliah yang menyentuh pelbagai aspek mampu memandu masyarakat melayari kehidupan secara lebih sihat dan teratur dalam mengurus tekanan dan mengatasi masalah yang dihadapi.
Tambahan pula, terdapat dalam kalangan para penceramah yang bertauliah sudi memberi ruang kepada jemaah mengemukakan soalan-soalan yang bersarang dalam benak fikiran berkaitan urusan agama dan kehidupan harian seperti pertikaian hukum hakam ibadah, kepelbagaian mazhab dan ajaran sesat. Ia sedikit sebanyak dapat membantu jemaah mengurangkan bebanan fikiran dan polemik dalaman masing-masing.
Selain daripada itu, masjid yang memainkan peranan sebagai hub sosialisasi insan mampu menyebarkan ukhuwwah dan mengeratkan hubungan dengan pelbagai aktiviti bersama terutamanya budaya bersalaman sambil bertukar senyuman. Kedua-duanya adalah sunnah Rasulullah SAW. Budaya bersalaman dan menyebarkan senyuman ini terbukti berjaya menjadi terapi jiwa dan menenangkan minda serta menyuburkan kebahagiaan. Banyak kajian saintifik telah dijalankan bagi pesakit yang mengalami kemurungan. Ia boleh dirujuk dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi. Impak sentuhan ketika bersalaman erat disertai ukiran senyuman mesra di bibir sesama Jemaah dapat melenturkan gejolak di jiwa dan mengisi kekosongan hati serta merawat jiwa yang sepi.
Kesimpulannya, intervensi masjid dalam kelestarian kesihatan mental amat penting dalam meningkatkan indeks kebahagiaan masyarakat Islam khususnya. Suasana positif dan harmoni dalam kalangan pentadbir masjid dan para Jemaah perlu ditingkatkan dan dikukuhkan dengan latihan dan bengkel yang berkaitan dengan kesihatan mental bagi memperkasakan fungsi masjid dalam memenuhi keperluan semasa jemaah. Masjid ceria masyarakat bahagia.
…
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di aizan@um.edu.my Penulisan ini merupakan sebahagian daripada dapatan Geran Penyelidikan Kolaborasi Antarabangsa Universiti Malaya ST048-2022.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment