DAP Perak kutuk ugutan terhadap ibu Nga Kor Ming
DAP Perak memaklumkan bahawa kertas yang ditulis dengan perkataan berunsur ugutan telah ditemui bertebaran di premis rumah ibu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada pagi (Khamis) ini.
Dalam satu sidang media hari ini, DAP Perak berkata dengan tegas mengutuk tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu yang secara jelas melanggar undang-undang, selain ia bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat yang beradab.
“Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan menangani kes-kes yang berbentuk ugutan tersebut.
Pihak DAP yang menyanjung kedaulatan undang-undang berpandangan setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang akan diugut atau diserang secara fizikal.
Oleh itu, dalam masyarakat yang demokratik dan berbilang kaum, adalah penting untuk kita menegaskan bahawa kepelbagaian harus dihormati dan suara yang berbeza harus diterima dengan penuh keterbukaan.” katanya.
DAP Perak turut memohon semua pihak untuk mengekalkan ketenangan dan bersikap rasional dalam menghadapi situasi tersebut. Di samping itu, DAP Perak juga menyatakan simpati dan solidariti terhadap bonda Sdr Nga pada waktu yang menguji itu.
Be the first to leave a comment