Oleh: Dr Ariyanti Mustapha
Persediaan umat Islam dalam menyambut kedatangan lebaran Aididilfitri yang berbaki tidak kurang dari seminggu merupakan detik yang sering menjadi keutamaan dalam setiap keluarga. Keterujaan dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri sering difokuskan kepada fesyen dan tema bagi setiap ahli keluarga selain daripada juadah yang bakal dihidangkan kepada tetamu. Pelbagai jenis fesyen untuk golongan lelaki, perempuan dan kanak-kanak menjadi titik fokus kepada pengusaha pakaian untuk menghasilkan pakaian dengan pelbagai jenama, fesyen, fabrik dan harga yang berbeza berdasarkan metod jualan sama ada secara atas talian, butik, bazar atau pasaraya.
Keterujaan umat Islam dalam berbelanja untuk membeli pakaian baru sempena Aidilfitri adalah dituntut dalam Islam sebagai menzahirkan kesyukuran dan kejayaan umat Islam dalam mengharungi ujian berlapar, dahaga dan kepenatan sepanjang beribadah pada bulan Ramadan. Perkara tersebut adalah selari dengan tuntutan menghidupkan Sunnah iaitu berhias dengan pakaian-pakaian cantik dan selesa.
Perkara ini dapat dilihat melalui perbuatan sahabat Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang bermaksud: Umar mengambil jubah dari sutera tebal yang dijual di pasar. Beliau mengambilnya dan memberikan jubah tersebut kepada Rasulullah dan mengatakan, “Wahai Rasulullah belilah jubah ini , berhias dengannya untuk hari raya dan menerima kunjungan tetamu. Maka Rasulullah mengatakan kepada Umar, “Sesungguhnya ini adalah pakaian yang tidak dapat bahagian di akhirat.” (HR Bukhari)
Baginda menolak pemberian tersebut kerana lelaki tidak dibenarkan memakai sutera. Berdasarkan Abu al-Hassan al-Sindi, hadis tersebut secara umumnya menunjukkan bahawa berhiasan dengan pakaian baru dan berwangi-wangian pada hari raya merupakan kebiasaan yang sudah lama dipraktikkan dalam kalangan para sahabat, dan Nabi SAW tidak menegahnya selagi ia tidak melanggar batasan hukum syarak.
Menyambut lebaran dengan berpakaian baru dan berhias-hiasan adalah sebagai cara untuk menzahirkan kesyukuran di atas nikmat rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya. Malah banyak nas dalam al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa Islam meraikan kecantikan bahkan Islam menuntut umatnya untuk menzahirkan diri mereka dalam keadaan cantik, dan pada masa sama mengelakkan diri dari sifat takabbur dan menunjuk-nunjuk.
Daripada Ibnu Umar RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai untuk melihat kesan nikmatNya ada pada hambaNya.” (HR al-Hakim dan al-Tirmizi)
Hadis tersebut menunjukkan saranan Islam kepada umatnya untuk menzahirkan nikmat rezeki dan kemewahan yang dikurniakan Allah. Walaupun begitu, ia perlu dizahirkan secara sederhana, penuh ketakwaan dan tidak berlebih lebihan dalam mempamerkan kecantikan dan
perhiasan yang ada sehingga boleh mengundang fitnah dan mengakibatkan dosa, khususnya apabila dizahirkan kepada umum melalui hantaran media sosial.
Kewujudan pelbagai jenis fesyen yang tidak menepati tuntutan syariah untuk diperagakan di zaman kontemporari, sama ada dalam kalangan lelaki dan perempuan telah menimbulkan pelbagai isu yang mempersoalkan kewajaran fesyen tersebut dengan sambutan Aidilfitri. Berpakaian baju tradisi Melayu dengan fesyen potongan moden dan ketat serta menampakkan susuk tubuh dalam kalangan lelaki telah menjadi “trend” terkini yang mula menjadi ikutan remaja. Manakala dalam kalangan wanita, pelbagai fesyen yang berasaskan fesyen kontemporari muslimah untuk digayakan pada hari raya perlu diteliti agar ianya tidak melanggar batasan aurat yang telah ditetapkan oleh Islam.
Kebanjiran jenama pereka fesyen dengan pelbagai rekaan yang berbeza dan moden menjadi tarikan utama golongan wanita untuk mendapatkan yang terbaik untuk digayakan pada hari raya. Malah sikap segelintir pembeli yang teruja mengenakan busana yang ketat, jarang dan menampakkan susuk tubuh di Aidilfitri menjadi ikutan pada masa kini yang dianggap sebagai trend yang perlu diikuti, apatah lagi terma ‘Raya hanya sekali’ menjadi faktor wujudnya salah faham dalam berfesyen menurut perspektif hukum Islam.
Rasulullah SAW pernah menerangkan mengenai golongan yang berpakaian tetapi dikira sebagai bertelanjang: “Dan wanita yang berpakaian, tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan.” (HR Muslim)
Hadis tersebut telah dihuraikan oleh Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni yang menerangkan maksud berpakaian tetapi bertelanjang iaitu, “Berpakaian namun bertelanjang pada hakikatnya kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi badan dan menyembunyikan aurat dan tujuan berpakaian ialah menutup (aurat), maka sekiranya pakaian itu tidak menutup (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang.”
Syariat Islam memberi perincian jelas terhadap aurat wanita yang meliputi seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan. Dan ia perlu ditutup dengan sempurna tanpa menampakkan bentuk badan atau bayangan daripada luar serta tidak memperlihatkan bonggol rambut. Kriteria tersebut dapat dirumuskan bahawa fesyen wanita muslimah hendaklah sopan, tidak ketat serta tidak jarang dan tidak menampakkan bonggol rambut dalam berhijab.
Berfesyen di Aidilfitri perlu ada batasannya agar pakaian tersebut memenuhi tuntutan menutup aurat dan seiring dengan tuntutan Maqasid Syariah yang menekankan mekanisme menjaga maruah diri daripada dipertontonkan aurat kepada umum. Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah, berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Pemahaman daripada ayat al Quran tersebut dapat dirumuskan bahawa konsep bersederhana dalam berfesyen dan berhias telah ditekankan oleh Allah yang sudah pasti mempunyai hikmah untuk membentuk akhlak dan peribadi Muslim yang taat kepada suruhan syariat Islam dan tidak melampaui batas.
Islam secara umumnya tidak menegah kehendak setiap muslimah untuk berhias dan kelihatan cantik kerana ia merupakan fitrah yang Allah ciptakan dalam diri hambaNya, akan tetapi ia perlu didahulukan dengan kehendak syariat agama bagi memastikan setiap tindakan yang diambil
tidak mengakibatkan dosa tanpa disedari, khususnya dalam menyambut lebaran yang merupakan hari kejayaan bagi setiap umat Islam.
Justeru, menjadi kewajipan bagi setiap ketua keluarga untuk membuat senarai semak terhadap fesyen yang bakal digayakan oleh ahli keluarga khususnya isteri dan anak-anak di bawah tanggungannya agar aurat mereka tetap dipelihara dan semoga lebaran yang bakal disambut mendapat penuh barakah daripada Allah SWT.
…
Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di ariyanti@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment