PUTRAJAYA, 17 April 2024 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sedang menangani isu penjualan kambing sama ada hidup atau disembelih yang tular di dalam negara kebelakangan ini.
Menurut DVS dalam satu kenyataan semalam, pihaknya kerap mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang melanggar perundangan veterinar terutamanya berkaitan pemindahan dan penyembelihan kambing.
“Perlu diberi perhatian, setiap pemindahan ternakan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Veterinar Negeri dan bagi tujuan penyembelihan perlu dilakukan di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan.
Bagi memastikan pematuhan perundangan veterinar, DVS juga mendapat kerjasama agensi lain terutamanya dari pihak Polis dan Pasukan Gerakan Am sama ada melalui perkongsian maklumat mahupun tindakan penguatkuasaan.” kata DVS.
DVS turut mengambil perhatian peningkatan jualan kambing dengan harga luar biasa murah kerana dikhuatiri bekalan diperolehi daripada punca yang tidak dapat dikenalpasti status kesihatan ternakan berkenaan.
“Bagi ternakan yang dibawa masuk dari luar negara, proses kuarantin adalah diwajibkan bertujuan memastikan ternakan berkenaan benar-benar sihat. Ternakan yang tidak melalui proses kuarantin dan tidak diketahui status kesihatannya dikhuatiri boleh membawa pelbagai penyakit ternakan dan lebih membimbangkan penyakit zoonotik yang boleh berjangkit kepada manusia. Penyakit zoonotik boleh merebak kepada manusia melalui kontak secara langsung dan tidak langsung dengan haiwan dijangkiti, pengambilan makanan dan melalui vektor (seperti kutu, nyamuk dan lain-lain).” kata DVS.
Jelas DVS, antara penyakit zoonotik yang boleh tersebar melalui haiwan ternakan adalah anthrax, brucellosis, leptospirosis dan chlamydiosis.
“Pembeli ternakan berkemungkinan besar mempunyai risiko djangkiti penyakit-penyakit zoonotik seperti yang dinyatakan jika ternakan yang dibeli tidak diketahui status kesihatan. Risiko penyebaran penyakit kepada ternakan sedia ada semakin tinggi jika pembelian berkenaan bertujuan untuk diternak. Keadaan ini boleh menyebabkan kerugian akibat kematian yang tinggi, kos pengurusan kawalan penyakit yang meningkat, sekaligus menggugat industri ternakan negara.” kata DVS.
Justeru, menangani isu itu, DVS telah menubuhkan task force dengan tujuan untuk mengesan ladang-ladang yang disyaki menjadi tempat simpanan ternakan yang tidak diketahui punca bekalan. Ladang-ladang yang dikenalpasti itu akan dibuat pemantauan secara proaktif oleh DVS dari sudut tahap kesihatan ternakan ladang.
“Jika ada ternakan ladang tersebut diuji positif sebagai pembawa penyakit, ia akan dikuarantin dan tindakan kawalan penyakit akan dibuat. Tindakan ini bagi mengekang penularan penyakit ternakan dan jangkitan penyakit zoonotik kepada orang ramai.” kata DVS.
DVS turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh mengenai tawaran atau promosi ternakan yang berharga luar biasa murah dari pasaran kerana dikhuatiri dibekalkan tanpa melalui pemeriksaan kesihatan veterinar yang diperlukan bagi sebarang pemindahan dan penyembelihan ternakan.
“Selaku pembeli, boleh meminta penjual menunjukkan permit pemindahan ternakan dan sijil kesihatan serta mengenalpasti tag ternakan atau apa-apa tanda pengenalan untuk kepastian ternakan telah diperiksa oleh DVS.” ujarnya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment