Oleh: Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar
Benar, Ramadan baru sahaja berlalu. Namun, janganlah kita bersedih dengan pemergiannya yang membawa bersama peluang membuat kebaikan yang berlipat kali ganda itu. Sesungguhnya ia bukanlah pengakhiran kepada peluang berbuat kebaikan, selagi mana kita menuruti apa yang telah ditinggalkan oleh suri teladan kita semua, iaitu Nabi Muhammad SAW dalam menyambut hari kemenangan di bulan Syawal ini.
Hari Raya Aidilfitri merupakan momentum penting untuk meneruskan semangat keinsafan dan amalan-amalan yang kita tekuni dan laksanakan di sepanjang bulan Ramadan. Ia adalah saat yang tepat untuk meneruskan kekhusyukan dalam ibadah dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat yang diberi.
Sebagaimana yang diketahui, Aidilfitri merupakan salah satu daripada dua hari raya yang disyariatkan dalam Islam. Menurut Imam Ramli RH, Aidilfitri merupakan raya pertama yang disyariatkan di dalam Islam. Ia mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah dan baginda SAW tidak pernah meninggalkan perkara tersebut pada setiap tahun setelah disyariatkan. Justeru amatlah penting bagi kita mengetahui bagaimana cara baginda SAW merayakan hari tersebut.
Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan nama ‘Aid kerana hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun. Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, bersabar menahan lapar dan dahaga, maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud bahawa ketika mana Nabi SAW sampai ke Madinah, baginda SAW mendapati penduduk Madinah memiliki dua hari yang mereka bergembira padanya, lalu Nabi SAW bertanya: “Apakah dua hari ini?” Lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira.” Lantas Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.”
Baginda SAW memulakan pagi hari raya dengan mandi membersihkan diri bagi menunaikan solat hari raya. Berkata Imam Nawawi, telah bersepakat para ulama bahawa disunatkan mandi untuk solat hari raya sebagaimana mandi bagi solat Jumaat. Kemudian Baginda SAW memakai pakaian yang terbaik dan berwangi-wangian sebelum keluar menuju ke masjid.
Sebelum Baginda SAW keluar daripada rumah untuk menuju ke masjid, Baginda menjamah sedikit makanan. Maka dapat difahami bahawa ketika mana hari raya Aidiliftri, disunatkan kepada kita untuk makan sebelum keluar rumah di pagi hari. Ada pun amalan ini berbeza dengan Aidiladha yang disunatkan makan setelah pulang dari solat hari raya.
Baginda SAW juga mensunnahkan takbir hari raya bagi Aidilfitri yang bermula dari terbenamnya matahari di hari terakhir Ramadan, sehinggalah bermulanya solat hari raya di pagi 1 Syawal. Menurut jumhur fuqaha, kita sunat bertakbir dengan takbir hari raya bagi lelaki dan perempuan di masjid-masjid, rumah mahu pun pasar. Disunatkan pula tatkala betakbir, bagi lelaki untuk menyaringkan suara, manakala bagi perempuan disunatkan untuk merendahkan suara.
Berkata Imam al-Syafie RH, “Apabila telah kelihatan anak bulan Syawal, aku menyukai manusia memulai takbir sama ada secara berjemaah mahu pun sendirian, di pasar, masjid, jalanan, rumah; sama ada mereka yang bermusafir, mereka yang bermukim; dan pada setiap keadaan. Dan di mana sahaja mereka berada mereka menzahirkan takbir, sehinggalah mereka ke musolla bagi menunaikan solat hari raya dan sehingga selepas imam keluar untuk solat dan mereka turut bertakbir,”
Para sahabat baginda SAW apabila saling bertemu pada hari raya mereka akan saling mengucapkan: “Taqaballahu minna wa minka” yang bermaksud “Mudah-mudahan Allah SWT menerima amalan kami dan amalan kamu.” Ianya merupakan sebahagian daripada ucapan tahniah kerana telah selesai menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan. Dapat difahami bahawa mereka saling mendoakan supaya semua amalan yang dikerjakan pada bulan Ramadan, termasuklah puasa, qiyam, sedekah, dan zakat itu kesemuanya diterima dan diangkat di sisi Allah SWT.
Selain itu, Baginda SAW juga ketika mana hari raya, akan memilih untuk pergi menunaikan solat Aidilfitri menggunakan laluan yang berbeza daripada jalan pulang. Para ulama telah menyebutkan terdapat lebih daripada dua puluh hikmah kenapa baginda SAW berbuat demikian. Antaranya adalah untuk mengambil peluang menziarahi kaum kerabat dan menghubungkan silaturrahim.
Marilah kita mentaati semua tuntutan sunnah Nabi Muhammad SAW ini agar sambutan hari raya kita tidak menjadi sia-sia, dan menjadi penyambung kelangsungan kebaikan kita semasa Ramadan. Dengan mempraktikkan kesederhanaan dan kesyukuran dalam merayakan Aidilfitri, seharusnya kita dapat merasai kebahagiaan yang sebenar-benarnya dalam kemenangan spiritual setelah sebulan berpuasa.
Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah SWT dan hari raya ini menjadi lebih bermakna dalam erti kata yang sebenar. Selamat Hari Raya Aidilfitri, minal ‘aidil wa al faizin.
…
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di syedjeffri89@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment