Oleh : Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli, Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, mohdanuar@um.edu.my
Hari Aidilfitri dinantikan oleh ramai orang tanpa mengenal usia tua atau muda, kanak-kanak atau golongan dewasa. Ramai yang membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Ia merangkumi penyediaan baju baharu, duit raya, kuih raya, bahkan penetapan destinasi sambutan Aidilfitri bagi berkumpul. Walaupun ia disambut setiap tahun, pastinya setiap tahun menawarkan pengalaman sambutan dan kisah yang berbeza.
Selain itu, Aidilfitri juga medan untuk berkumpul dan bertemu sanak saudara dan sahabat handai. Ia ibarat pertemuan tahunan di kampung halaman. Namun begitu, ketika ramai yang kembali dari bermudik, telah timbul pelbagai kisah kurang enak. Ibaratnya, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Biasanya kisah masyarakat tidak dapat lari dalam isu-isu dalam hubungan mentua-menantu, adik beradik, ipar duai dan sepupu sepapat. Ia melibatkan tema-tema si kaya-miskin, rajin-pemalas, pemurah-kedekut, pembersih-pengotor dan sebagainya. Sedangkan tujuan utama meraikan tradisi berkumpul adalah untuk menghubungkan tali silaturrahim atau persaudaraan tetapi perkara sebaliknya berlaku.
Secara lebih lanjut isu ini merangkumi beberapa perkara, iaitu:
Pertama, isu layanan dan pilih kasih. Seringkali ramai berasa kecil hati dan jauh hati lantaran ada perbezaan layanan di antara ibu bapa dan anak, menantu dan cucu atau adik beradik. Kadangkala ada yang tampak jelas membezakan tetapi banyak yang salah faham sebab perkara itu berlaku secara spontan tanpa niat pihak berkenaan. Isu layanan agak subjektif dan mudah disalahtafsirkan serta mudah menimbulkan salah faham dan kecil hati.
Kedua, isu perebutan bilik tidur, bilik air dan tempat letak kenderaan. Apabila mempunyai bilangan ahli keluarga yang melebihi kapasiti rumah dan tempat letak kenderaan yang ada, ia menyebabkan ada pihak yang terasa seperti dipinggirkan. Situasi ini berlaku di rumah ibu bapa sama ada di kampung atau taman perumahan. Jadi anak yang balik lebih awal akan dapat bilik dan ruang letak kenderaan lebih dahulu berbanding anak yang balik kemudian.
Ketiga, isu kerja dapur dan mengemas rumah. Apabila ramai yang pulang ke kampung akan wujud segelintir ahli keluarga yang tidak suka masuk ke dapur, dan ada yang bermain gajet atau keluar rumah ketika sesi memasak dilakukan dan hanya pulang ketika waktu makan atau berbuka. Terdapat juga dakwaan bahawa menantu diperhambakan oleh mentua dan ipar duai di dapur dan anak yang miskin dibiarkan melakukan kerja rumah berbanding anak kaya.
Keempat, isu perbelanjaan dapur. Dalam perbelanjaan dapur, biasanya ibu bapa akan menyediakan barangan asas dan anak-anak akan saling membeli keperluan raya yang lain. Namun begitu, seringkali ada anak yang bakhil serta tidak mahu mengeluarkan belanja, dan anak lain terpaksa menanggung perbelanjaan dapur.
Kelima, isu bil elektrik dan air. Lazimnya penggunaan utiliti seperti elektrik dan air akan meningkat dua hingga tiga kali ganda kerana jumlah kapasiti pengguna yang ramai. Penggunaan elektik dan air yang bertambah akan menaikkan bil bulanan. Sedangkan bil air dan elektrik akan diperolehi sebulan selepas penggunaan. Jadi ibu bapa terpaksa menanggung perbelanjaan utiliti jika tiada sumbangan dari anak-anak.
Keenam, isu menginap di homestay dan hotel. Menjadi tren semasa bagi anak-anak yang pulang kampung memilih untuk tinggal di homestay atau hotel. Isu ini menimbulkan polemik pro dan kontra. Bagi sesetengah pihak, mereka melihat perbuatan ini tidak baik kerana anak dianggap telah lupa asal usul, tidak sanggup menahan panas, gigitan nyamuk dan sempit. Tetapi bagi pihak yang memilih untuk tinggal di homestay dan hotel, mereka memilih keselesaan buat pasangan dan anak-anak di samping ingin menjaga aurat sesama bukan mahram.
Jelasnya, isu-isu tersebut menjadi kitaran kisah pasca Aidilfitri setiap tahun dan tiada kesudahan sebaliknya menambah jurang di antara adik beradik dan saudara mara. Sepatutnya jika semua pihak berlapang dada dan bermuafakat serta bertolak ansur, isu terbabit tidak akan timbul. Ibaratnya hati gajah sama dilapah dan hati nyamuk sama dicecah. Dengan lain perkataan, berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Kerjasama ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2: Dan bertolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa.
Di antara cadangan solusi yang boleh dimanfaatkan adalah:
Pertama, mewujudkan tabung bersama sebagai penyelesaian bagi menangani isu belanja dapur dan utiliti. Tidak akan jatuh miskin orang yang membelanjakan wangnya untuk ahli keluarganya. Nabi SAW menegaskan orang yang mengeluarkan wang bagi menjamu makan termasuk dalam amalan yang paling baik. Sabda Nabi SAW: Daripada Abdullah bin Amru RA, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW menjawab: Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal. (HR al-Bukhari)
Kedua, membuat pembahagian tugasan bagi kerja rumah. Setiap ahli keluarga perlu mempunyai fungsi dan peranan ketika berkumpul di kampung halaman. Tugasan boleh dibahagikan mengikut kesesuaian dan dalam kemampuan mereka agar tiada yang culas dan mengular. Misalnya, sekelompok untuk membersihkan dan mengemas rumah, sekelompok untuk mencari bahan mentah dan sekelompok untuk memasak nasi dan lauk. Aktiviti bersama ini dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Dalam hal berkhidmat kepada ahli keluarga, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya. (HR al-Tirmizi).
Ketiga, melakukan sistem penggiliran untuk bilik dan tempat letak kereta. Penggiliran ini memerlukan tolak ansur daripada semua pihak. Permuafakatan boleh dilakukan di antara adik beradik untuk membuat giliran ruang bilik yang ada. Atau bilik yang ada dikhususkan untuk golongan wanita dan golongan lelaki boleh tidur beramai-ramai di ruang tamu. Jika tidak, mereka boleh memasang khemah di luar rumah sebagai alternatif.
Keempat, mengeluarkan perbelanjaan untuk menyediakan ruang tidur dan bilik air. Sekiranya ada kemampuan kewangan dan ada ruang tanah, anak-anak boleh membangunkan ruang bilik masing-masing berdasarkan persetujuan bersama kerana implikasinya di kemudian hari, ia bakal menjadi harta pusaka dan berpotensi menjadi rebutan. Jika tidak, pilihan yang ada adalah menginap di homestay atau hotel sekiranya jumlah keluarga yang besar dan kapasiti rumah tidak dapat menampung semua ahli keluarga. Ia sekaligus dapat menjaga batasan aurat dengan ipar duai dan batas pergaulan antara sepupu sepapat yang bukan mahram. Dalam hal aurat ini, Rasulullah SAW menegaskan: Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda: Ipar adalah maut (Muttafaq alayh)
Rumusannya bagi menjayakan tradisi berkumpul ini, setiap pihak perlu mengamalkan 6S bagi mempereratkan tali silaturrahim dan memperkuatkan ikatan kasih sayang. 6S ini adalah:
S1: Saling tolong menolong dalam menghidupkan rasa kebersamaan dalam kalangan anggota keluarga agar setiap pihak dapat berfungsi dengan baik dan bermakna. Sifat pentingkan diri sendiri perlu dijauhi.
S2: Saling ikhlas agar tiada rasa iri hati dan dengki dengan kelebihan dan kekurangan ahli keluarga. Setiap manusia punya kelebihan tersendiri di samping kelemahan yang dapat ditampung bersama. Kaya atau miskin kedua-duanya adalah hamba Allah.
S3: Saling tidak menghasut antara satu sama lain. Tiada orang yang menjadi batu api untuk menghasut dan mewujudkan kelompok-kelompok kecil keluarga sekaligus menimbulkan perpecahan. Ini kerana seburuk-buruk ahli keluarga, mereka tetap mempunyai pertalian darah. Umpamanya, air dicincang takkan putus.
S4: Saling bersikap pemurah dalam perbelanjaan. Setiap ahli keluarga memberi sumbangan dan tidak berkira dengan wang ringgit dan tenaga demi kegembiraan bersama.
S5: Saling bertolak ansur dan bersabar dalam apa juga situasi terutama apabila wujud situasi tegang dan salah faham. Setiap masalah perlu diselesaikan secara bersama dan muafakat.
S6: Saling hormat menghormati antara satu sama lain. Tiada pihak yang mengamalkan kluster kayangan dan menghina adik beradik yang susah. Tanggalkan dan tinggalkan pakaian kemegahan dan kehebatan di kota. Hormati perbezaan dan kekurangan yang ada dalam kalangan adik beradik agar keharmonian dapat dicapai dan tiada pihak yang rasa terpinggir serta terabai dalam kalangan ahli keluarga.
Tegasnya, jangan biarkan ekosistem toksik melingkari kehidupan keluarga besar ketika ahli keluarga berkumpul beramai-ramai. Sesungguhnya menjaga hubungan silaturrahim sangat penting dalam Islam. Orang yang memutuskannya dijanjikan balasan yang buruk. Ini kerana Rasulullah SAW menjelaskan bahawa dengan menyambung silaturrahim, Allah SWT akan memperluaskan rezki dan memanjangkan umur seseorang. Sabda Nabi SAW: Siapa yang ingin diluaskan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah tali silaturrahim. (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’i). Semoga tradisi berkumpul tahun ini menjadi kenangan yang terindah dalam sambutan Aidilfitri bersama keluarga.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment