Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar
Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur Tengah yang kebanyakannya lebih menghidupkan bulan Ramadan berbanding Syawal. Mereka menyambut Aidilfitri mengikut sunnah dan meraikannya secara wasatiyyah.
Setiap tahun kita semua teruja menantikan tarikh hari raya yang akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Bila-bila pun anak bulan kelihatan, tarikh hari raya Aidilfitri tetap jatuh pada 1 Syawal. 1 Syawal sahaja. Meskipun kita berpuasa selama sebulan, bukanlah bermakna hari raya juga sebulan. Sambutan kemenangannya hanyalah sehari. Namun, apakah kita begitu teruja dengan kemenangan, sehingga meraikannya secara berlebih-lebihan sehingga sebulan?
Agama Islam sudah pun mengaturkan hidup manusia ini dengan begitu tersusun dan sejahtera. Namun, apabila kita berlebih-lebihan, maka banyaklah berlaku kerosakan. Bermula dengan kerosakan diri sehinggalah kepada kerosakan bumi. Kita dapat menyaksikan sambutan rumah terbuka Aidilfitri di sana sini, siang dan malam, di rumah dan pejabat. Malah, berlarutan sehingga menjelang bulan Zulkaedah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Surah al-’Araf: 31)
Namun, sambutan hari raya kita segala-galanya berlebih-lebihan. Berlebih-lebihan hari merayakan. Berlebih-lebihan menghidang dan menyantap makanan. Sedangkan dunia sedang mengalami krisis bekalan makanan. Berlebih-lebihan membeli dan memakai pakaian. Sedangkan industri tekstil semakin menjadi punca pencemaran.
Sambutan Aidilfitri yang awalnya disambut dengan laungan takbir, diganti dan disambung pula dengan lolongan dan tarian lagu raya yang berlebih-lebihan. Teguran mufti diabai dan diperlekehkan. Segalanya tidak lagi bertepatan dengan sunnah Aidilfitri. Segalanya tidak lagi bertepatan dengan prinsip lestari.
Apakah ini benar-benar erti kemenangan? Bukankah kemenangan yang sebenar dalam ibadat puasa di bulan Ramadan adalah meraih ketakwaan? Tanpa sedar, kita sedang bergembira meraikan kekalahan. Kekalahan mengawal nafsu sendiri meski telah dididik dalam Madrasah Ramadan selama sebulan tanpa godaan syaitan.
Justeru, kita perlu benar-benar mengamalkan prinsip wasatiyyah yang dianjurkan Islam iaitu dengan bersederhana. Kita hendaklah menyambut hari raya atau mengadakan rumah terbuka dengan berpada-pada dan tidak berlebih-lebihan, sentiasa bersederhana dan berimbang dalam meraikan mengikut kadar yang sepatutnya dan tempoh yang ditetapkan sahaja. Acara rumah terbuka hendaklah dirancang sebaiknya bagi mengelakkan pembaziran dan ketidaklestarian. Gahnya rumah terbuka bukan pada banyaknya pilihan makanan, tetapi dengan banyaknya keberkatan.
Menurut hadis Nabi SAW, daripada Mutharrif bin Abdillah berkata:”Sebaik-baik perkara adalah yang wasatiyyah (pertengahan).” (Riwayat al-Baihaqi)
Apabila sambutan hari raya diraikan secara wasatiyyah, secara sederhana, maka akan berkuranglah lebihan sisa makanan, akan berkuranglah penggunaan air dan tenaga, akan berkuranglah penggunaan plastik sekali guna.
Wasatiyyah adalah kunci. Tanpa kunci ini, rumah terbuka yang lestari tidak akan dapat dimasuki. Tanpa kunci ini, amalan rumah terbuka lebih wajar dibiar tertutup rapi. Jangan biarkan hari raya yang patut disambut untuk menambah pahala dan memohon ampun atas segala dosa bertukar menjadi penambahan dosa dengan amalan pembaziran dan hiburan di sini sana.
…
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Program Sarjana Kelestarian, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di ista.ajib@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment