• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Puasa Syawal: Gabung atau berasingan?

Spread the love

Oleh: Dr Ridzwan Ahmad

Setelah berakhirnya bulan Ramadan dengan ketibaan Aidilfitri maka umat Islam seluruh dunia akan beralih kepada puasa enam di bulan Syawal. Ini kerana puasa ini mempunyai kelebihan yang amat banyak sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim). Walau bagimanapun bukan setiap insan mempunyai waktu dan kelapangan yang mencukupi untuk melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Ada yang masih belum mengqadakan puasa Ramadan yang ditinggalkan sama ada disebabkan halangan haid, kesihatan, pekerjaan berat mahupun kesulitan tertentu. Persoalannya adakah mereka yang masih berhutang puasa Ramadan boleh melaksanakan puasa sunat Syawal sebelum melaksanakan qada puasa Ramadan ataupun wajib melaksanakan qada puasa Ramadan terlebih dahulu kemudian baharu melaksanakan puasa sunat Syawal. Begitu juga sah atau tidak niat menggabungkan puasa sunat Syawal dengan qada Ramadan kerana dibimbangi tidak mampu melaksanakan qada puasa Ramadan selepas melaksanakan puasa sunat Syawal. Persoalan ini sering kali timbul ketika berakhirnya Aidilfitri.

Dr Ridzwan Ahmad

Melaksanakan puasa sunat Syawal tetapi masih berhutang puasa Ramadan

Berkaitan dengan gabungan niat puasa qada dengan puasa enam Syawal memang terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Walau bagaimanapun sebelum dijelaskan hal ini perlu dinyatakan terlebih dahulu bahawa para ulama juga berbeza pendapat sama ada boleh atau tidak mereka yang masih berhutang puasa Ramadan, melaksanakan puasa sunat Syawal.

Secara ringkasnya golongan pertama membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Sayyidatina Aisyah r.a pernah melewatkan qada puasa Ramadan di bulan sya’ban. Aisyah r.a berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadakannya sehinggalah masuk bulan sya’ban baharulah aku menqadakannya’ (Riwayat Bukhari dan Muslim). Berdasarkan kelebihan puasa sunat enam Syawal maka tidak mungkin Aisyah r.a. tidak melaksanakannya semata-mata kerana beliau masih tidak mengqadakan puasa Ramadan. Tindakan Sayyidatina ‘Aisyah r.a. mengqadakan puasa Ramadan di bulan Sya’ban membuktikan bahawa puasa enam Syawal boleh dilakukan walaupun masih memiliki hutang puasa wajib Ramadan.

Golongan kedua pula berpendapat tidak boleh melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis yang dinyatakan sebelum ini iaitu nabi SAW menganjurkan puasa sunat Syawal setelah melaksanakan puasa Ramadan. Ini bermakna jika masih belum qada puasa Ramadan maka langsaikan hutang tersebut terlebih dahulu baharu dilaksanakan puasa sunat Syawal. Meskipun ramai para ulama terkemudian memilih pandangan ini namun perlu juga dilihat kepada sesetengah wanita yang haidnya agak panjang. Jika terpaksa mengganti puasa Ramadan terlebih dahulu baharu boleh dilaksanakan puasa sunat Syawal maka kemungkinan tidak berpeluang melaksanakan puasa tersebut disebabkan kesuntukan waktu yang ada pada bulan Syawal.

Begitu juga bagi mereka yang berkelapangan untuk melaksanakan puasa qada terlebih dahulu namun kesihatan dan tugas serta tanggung jawab yang mendasari kehidupan masing-masing tidak menjamin mereka mampu melaksanakan puasa sunat Syawal selepas itu. Maka timbullah persoalan boleh atau tidak jika digabungkan niat puasa qada Ramadan dengan puasa sunat Syawal sekali gus dengan harapan di samping berjaya melangsaikan hutang puasa Ramadan, pahala puasa Syawal juga berjaya diperolehi bersama.

Penyelesaian isu

Sebenarnya para ulama mengemukakan pendapat mereka berdasarkan ijtihad masing-masing. Tiada petunjuk yang jelas dari nas-nas Syarak untuk menyatakan bahawa mana-mana pendapat betul atau salah. Dalam hal ini bagi wanita yang mengalami masalah haid yang panjang sehingga sukar mengasingkan qada puasa wajib dengan puasa sunat Syawal maka boleh mengambil pendapat yang mengharuskan gabungan niat tersebut. Namun bagi mereka yang tidak mengalami kesukaran tersebut maka lebih baik (awla) mengerjakan puasa qada Ramadan secara berasingan kemudian baharulah dikerjakan puasa sunat Syawal. Bagi mereka yang berkeyakinan mempunyai waktu yang luas untuk mengqadakan puasa Ramadan maka tidak mengapa mengerjakan puasa sunat Syawal asalkan ia telah berazam untuk melaksanakan hutang tersebut selepas bulan Syawal. Hal ini samalah dengan bersedeqah walaupun seseorang itu masih berhutang dengan mana-mana pihak yang dianggap sebagai satu kewajipan namun tidaklah menyebabkan ia tidak boleh bersedeqah langsung kepada fakir miskin terutama di bulan Ramadan yang pahalanya berlipat kali ganda asalkan dia memang telah menjadualkan pembayaran hutangnya dengan baik.

Walau bagaimanapun saya berpandangan bagi mereka yang ingin menggabungkan niat puasa qada dengan puasa enam Syawal, demi meraikan khilaf yang berlaku boleh meniatkan puasa qada Ramadan sahaja di malam hari manakala di awal pagi pula boleh diniatkan puasa sunat Syawal sebagai gabungan dengan puasa qada Ramadan. Ini kerana puasa sunat tidak wajib diniatkan di waktu malam bahkan boleh diniatkan ketika awal siang hari. Demikian juga motif di antara kedua-dua puasa dari sudut perkiraan pahala tidak bertentangan di antara satu sama lain. Ini kerana ganjaran pahala puasa sunat enam Syawal menyamai dua bulan untuk mencukupkan ganjaran puasa Ramadan yang kekurangan dua bulan dari setahun (360 hari) iaitu puasa Ramadan hanya menyamai sepuluh bulan sahaja (300 hari). Hal ini jelas sebagaimana hadis Nabi SAW iaitu “Barangsiapa yang berpuasa enam hari selepas Aidilfitri (di bulan Syawal) maka ia telah menyempurnakan puasa setahun iaitu berdasarkan setiap perbuatan kebaikan digandakan sepuluh kali ganjaran”.

Seterusnya pelaksanaan puasa enam Syawal pula boleh dikerjakan secara tidak berturutan berdasarkan kemampuan masing-masing walaupun afdhalnya dikerjakan selama enam hari berturut-turut. Manakala tarikh permulaan puasa sunat Syawal pula, bagi mereka yang berkelapangan boleh terus melaksanakannya bermula pada hari kedua Syawal. Ia amat digalakkan sebagaimana pandangan imam Syafi, Ibn Mubarak dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadis puasa sunat Syawal sebelum ini dan konsep bersegera melakukan ibadat sunat berbanding melambatkannya. Bagi mereka yang tidak berkelapangan boleh mengerjakannya pada mana-mana hari yang sesuai bertepatan dengan pandangan Imam Ahmad yang menyatakan berpuasa di mana-mana hari dalam bulan Syawal telah memadai untuk mendapat kelebihan puasa tersebut berdasarkan puasa sunat Syawal hanya untuk melengkapkan puasa setahun iaitu 360 hari.

Kesimpulan

Sesungguhnya Mazhab Syafie merupakan mazhab yang mengutamakan sunnah justeru mana-mana amalan yang menepati sunnah qawliyyah (sunnah berbentuk perkataan), sunnah fi’liyyah (sunnah berbentuk perbuatan) dan sunnah taqririyyah (sunnah berbentuk pengakuan secara diam) maka ia lebih tepat disandarkan kepada mazhab tersebut, berbeza dengan sesetengah mazhab terpencil tertentu yang hanya mengiktiraf sunnah fi’liyyah dalam amalan ibadat. Hukum yang bersifat ijtihad boleh mengalami perubahan berdasarkan kepentingan kemaslahatan individu dan umat Islam sejagat.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh Dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di ridzwan@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation