Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Mutakhir ini timbul pelbagai isu berkaitan persoalan hukum dan melibatkan para agamawan. Para agamawan masih bertelagah isu lama yang diulangsiar saban hari seperti isu khilafiyyah dengan tema bid’ah, dan isu semasa seperti boikot dan serangan Iran ke atas Israel. Ramai agamawan sahut menyahut dalam merespons dan memberi pandangan walau sebahagiannya tidak mempunyai kepakaran dan ilmu berkaitan.
Sedangkan setiap bidang ilmu, ada pakar yang memiliki kepakaran yang khusus. Begitu juga dengan bidang agama, ada bidang-bidang kepakaran yang khusus. Dalam pengajian Islam, pada dasarnya terdapat tiga komponen bidang utama, iaitu pengajian Syariah, Pengajian Usuluddin, Pengajian Tasawwuf atau akhlak serta bidang-bidang lain yang berkaitan seperti Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Bidang pengajian Islam kini telah berkembang secara dinamik, lebih kompleks dan berfokus.
Berbeza dengan ketekunan dan kemampuan ulama zaman silam yang dapat menguasai pelbagai disiplin ilmu secara holistik, agamawan semasa mempunyai latar belakang pengkhususan yang tersendiri dan berfokus. Mereka tidak menguasai pelbagai bidang pengkhususan. Untuk merentasi dan menguasai pelbagai disiplin dalam bidang pengajian Syariah sendiri pun sukar, apatah lagi untuk rentas ke bidang pengajian Usuluddin. Dalam bidang pengajian Syariah umpamanya, kepakaran para agamawan kadangkala terbatas dalam disiplin yang sempit seperti halal dan kepenggunaan, muamalat semasa, politik Islam dan undang-undang Islam.
Ironinya, bidang kepakaran ini tidak dihormati oleh para agamawan sendiri. Mereka bebas untuk memberi pandangan merentasi bidang pengkhususan masing-masing. Almarhum Profesor Emeritus Dr Dato Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid pernah mengungkap: “Bidang pengajian Islam adalah disiplin yang tiada disiplin”. Dengan makna, para agamawan gemar memberi pandangan walaupun tidak selari dengan bidang kepakaran masing-masing. Hasilnya boleh mencelarukan umat. Misalnya ada agamawan yang menghalalkan skim-skim scammer, menjadi duta dan agen skim, mengharuskan forex dan seumpamanya.
Dalam al-Qur’an, surah al-Nahl ayat 43, Allah SWT berfirman dengan mafhumnya: maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. Justeru berdasarkan ayat ini, ahl-al-zikr merujuk kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran. Dengan itu, mereka yang tidak mempunyai ilmu dalam bidang yang berkaitan perlu meraikan golongan yang lebih pakar, bukan menjadi agamawan serba tahu kerana risiko ketergelinciran tetap ada.
Dalam hadis Nabi SAW memperingatkan tentang golongan yang memberi pandangan ini. Sabda Nabi SAW: Para hakim (qadi) terbahagi kepada tiga golongan: satu golongan dalam syurga dan dua golongan dalam neraka. Hakim yang berada di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menjatuhkan hukum dengannya. Hakim mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam menjatuhkan hukuman maka dia berada dalam neraka. Hakim yang menjatuhkan hukuman antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga berada dalam neraka”. (HR Abu Daud)
Dalam konteks hadis ini, walau ia menyebutkan hakim (qadi), ia juga boleh diperluaskan kepada orang yang memberi pandangan dan menetapkan hukum. Ia juga mensyaratkan hukuman itu adalah berdasarkan kepada ilmu, dan tidak boleh seorang yang jahil atau seorang yang zalim atau mereka yang mengikut hawa nafsu. Ini kerana dengan ilmulah, hukum dapat diputuskan dengan benar. Jadi, hanya orang yang berilmu selamat di dalam syurga, manakala mereka memberi pandangan secara zalim, mengikut nafsu dan jahil berada di neraka.
Begitu juga dalam redaksi hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: Dari Amr ibn al-‘Ash: Bahwa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Jika seorang hakim mengadili dan berijtihad dan ternyata ia benar, maka ia mendapat dua pahala, dan jika seorang hakim mengadili dan berijtihad lantas ia salah, baginya satu pahala. (HR al-Bukhari & Muslim)
Berdasarkan hadis kedua ini, situasinya berbeza. Ini disebabkan orang yang memberi pandangan atau hukum adalah seorang yang berilmu dan berkepakaran. Sekiranya pandangan mereka benar, mereka akan memperolehi dua pahala, iaitu pahala berijtihad dan pahala untuk pandangan yang benar. Sekiranya pandangan mereka salah, mereka akan mendapat satu pahala, iaitu pahala ijtihad sahaja. Mereka diampunkan Allah SWT kerana mereka telah mengerahkan seluruh tenaga dan fikiran dengan merujuk kepada al-Quran, al-Sunnah dan sumber hukum yang lain, namun ternyata pandangan mereka adalah salah.
Selari dengan itu, dalam disiplin hukum Islam, para ulama telah menggariskan kriteria yang ketat dalam menetapkan sesuatu hukum bagi mengawal ekosistem ijtihad agar tidak dicerobohi oleh mereka yang tidak berkelayakan. Walau bagi sesetengah pihak melihat proses itu mudah dan mampu dilaksanakan, hakikatnya, tidak semua orang layak menentukan hukum kerana potensi berlakunya ketergelinciran pandangan tetap ada.
Dalam masa yang sama juga, para agamawan perlu bersikap amanah kepada ilmu, meraikan kemampuan dan kepakaran yang ada serta menyerahkan kepada pihak yang bersesuaian untuk memberi pandangan kerana ancamannya di sisi Allah sangat besar. Tiada rasa aibnya apabila mengaku tidak tahu daripada memberikan pandangan tetapi ternyata salah dan dipegang oleh orang ramai. Akhirnya akan menjadi dosa jariah yang terus menerus mengalir, dampak daripada sebuah kejahilan dan menutup rasa malu.
Khususnya dalam konteks Malaysia, terdapat 14 buah institusi fatwa yang berutoriti dan 14 orang mufti yang berkapasiti dalam urusan penentuan hukum Islam. Mereka telah dilantik oleh pemerintah dan sebagai orang awam atau agamawan, pandangan keagamaan mereka adalah berdasarkan kepada pandangan mufti. Justeru, para agamawan jangan bertelagah, hormatilah autoriti hukum setempat yang ada dan jangan buka ruang kepada orang awam untuk berpecah belah dan keliru dalam memahami dan mengamalkan agama. Serahkanlah kepada pakar dan pihak yang berautoriti untuk menetapkan hukum hakam.
…
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment