TEMERLOH, 20 Julai 2024 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Silat Gerak Lian Pahang menganjurkan Festival Kesenian Peribumi Malaysia Pahang 2024 (FesKEP) pada 19 hingga 21 Julai 2024 bermula pukul 10.00 pagi bertempat di Dataran Temerloh, Pahang.
Pada malam ini, Persembahan Paluan Suara Alam disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Mohd Nor.
Festival tersebut turut dihadiri oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Cik Leong Yu Man dan Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Roslan Abdul Rahman.
Menurut JKKN, objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk mengetengahkan keunikan pelbagai etnik dan budaya masyarakat peribumi dari pelbagai suku kaum dan memupuk semangat perpaduan bersama masyarakat dalam aktiviti seni budaya.
“Festival ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat orang peribumi tempatan dengan penjualan produk mereka, malah turut mempromosikan Bandar Temerloh dengan keistimewaan masakan Ikan Patin yang merupakan ikon makanan popular negeri Pahang. Melalui program ini juga, kementerian berharap dapat menyemarakkan lagi seni budaya masyarakat peribumi agar terus terpelihara dimasa akan datang”, kata Roslan.
FesKEP 2024 turut menjadi elemen tarikan pelancong kerana program tersebut menyerlahkan seni budaya masyarakat peribumi dalam kalangan masyarakat tempatan. Ia juga bertujuan untuk mengangkat serta memelihara kesenian dan warisan adat budaya masyarakat peribumi tempatan yang terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa di mata masyarakat.
FesKEP 2024 turut memaparkan keunikan budaya masyarakat peribumi dari pelbagai negeri dengan penyertaan masyarakat peribumi dari Pahang (Bah Bola dan Jahut), Selangor (Mah Meri), Johor (Seletar), Kelantan (Bateq), Perak (Semai), Sabah dan Sarawak serta artis jemputan Amir Sisi, Norshiwan Ngah Ajip dan Mawar Bekaw.
Para pengunjung juga didedahkan dengan pameran Perkampungan Orang Asli, Ikhtiar dan Kemahiran Hidup oleh ATM serta aktiviti jualan dari pelbagai etnik yang dijangka dapat meningkatkan minat pengunjung untuk hadir dan melihat sendiri hasil tangan masyarakat orang asal. Antara produk jualan yang akan dipamerkan dan hasil kraftangan adalah seperti bakul dan tikar mengkuang, hasil ukiran tangan, akar kayu dan herba – herba serta peralatan tradisional seperti sumpit, keris dan parang. Program itu juga akan mempamerkan produk tradisional Melayu seperti tanjak dan keris. Pelbagai aktiviti menarik juga bakal diadakan sepanjang dua hari festival berlangsung seperti Battle of The Band, Ratu Cantik Cilik Orang Asli, Pertandingan Sewang Sekolah Murid Orang Asli, Pertandingan Masakan Tradisional, Pasar Saloma, Cabatan Tok Batin, Persembahan Ayuh Sewang, Permainan Rakyat, Gerak Gempur Pendekar dan sebagainya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment