Isu masalah air di Gua Musang : JAKOA tepis dakwaan Annuar Musa
GUA MUSANG, 12 Ogos 2024 – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa isu masalah air di Gua Musang, Kelantan berpunca dari kegagalan pihak JAKOA menyelenggara Sistem Rawatan Air.
Dalam satu kenyataan hari ini, JAKOA menjelaskan bahawa sebanyak 109 buah Kampung Orang Asli di Gua Musang, Kelantan mempunyai sistem bekalan air iaitu menggunakan sistem air paip (3), 16 tubewell atau boring (air bawah tanah) dan 90 graviti (sungai).
“Sepanjang RMK12, sejumlah RM25 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja bina baru dan pembaikan Sistem Rawatan Air manakala sebanyak RM5 juta pula dibelanjakan untuk kontrak penyelenggraan.
Isu pembekalan air ke perkampungan Orang Asli adalah berpunca dari sumber air yang terhad selain dari sumber air yang tercemar. Masalah ini berlaku bukan sahaja di perkampungan Orang Asli malahan juga di seluruh negeri Kelantan.” kata JAKOA.
Jelasnya, ia berlaku disebabkan kurangnya kawasan tadahan hujan yang dapat menyalurkan air ke kawasan-kawasan sekitar akibat dari aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang secara tidak terkawal serta kurangnya kawalan terhadap pencemaran air di sungai Kelantan.
“Namum begitu, JAKOA tetap berusaha menyediakan alternatif lain untuk mendapatkan sumber bekalan air buat masyarakat Orang Asli Gua Musang dengan membangunkan tubewell atau boring air (sumber air bawah tanah) melalui kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Galian (JMG) serta universiti-universiti tempatan.” ujarnya.
Be the first to leave a comment