PUTRAJAYA, 15 Ogos 2024 – Penjawat awam perlu mengubah pendekatan dan menganjak pemikiran untuk sentiasa mencipta kelainan kepada budaya kerja yang lebih cekap untuk membawa impak positif kepada agensi dan masyarakat.
Selain itu menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pendekatan serta tindakan juga perlu diubah daripada sikap hanya menyambung apa yang sedia ada.
”Untuk itu, saya ingin mengajak warga KKDW dan tentunya agensi-agensi yang lain yang telah diletakkan di bahu saya umpamanya FELDA atau Majlis TVET Negara bagi kita semua berperanan untuk memerdeka dan membebaskan pemikiran, pendekatan serta tindakan kita daripada sikap hanya menyambung apa yang sedia ada. Jiwa merdeka yang ada harus mempunyai kemahuan yang kuat bagi kita mencipta kelainan dan melakukan game changer dari masa ke semasa.” katanya.
Sempena bulan kemerdekaan, Dato’ Seri Zahid turut menyeru warga kerja KKDW untuk terus berusaha dalam memartabatkan negara dengan memaknai erti kemerdekaan melalui jiwa dan pemikiran yang merdeka mengikut citra semasa selari dengan tema Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini iaitu “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”.
Tambah beliau sebagai penjawat awam, merdeka itu boleh memberi makna perjuangan untuk membebaskan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Jika dilihat dalam konteks kemajuan desa, menjadi tanggungjawab kita untuk membawa warga pedesaan keluar daripada kepompong kemiskinan, memberikan insfrastruktur terbaik bagi memberi kehidupan yang lebih sempurna dan mengubah taraf sosio-ekonomi masyarakat desa untuk menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.“
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Bulan Ogos 2024 Dan Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) hari ini.
Turut dilancarkan program televisyen `Ronda Desa’ iaitu sebuah rancangan yang memaparkan kejayaan KKDW dalam membangunkan sosio-ekonomi masyarakat Desa Madani. Program 12 episod berdurasi 30 minit ini akan disiarkan pada setiap Hari Sabtu bermula 31 Ogos 2024, jam 4.30 petang di Stesyen RTM Saluran Okey.
Majlis ini turut dihadiri Timbalan Menteri KKDW Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, pegawai Pengurusan Tertinggi serta warga Kementerian.
Bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara dan memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, KKDW turut meraih pengiktirafan Malaysia Books of Records bagi Penghasilan Jalur Gemilang Terpanjang iaitu 129 meter dan terbanyak dengan menggunakan 171,823 unit penutup botol dari lobi bangunan KKDW hingga ke aras parkir B4 Kementerian.
Projek Penghasilan Jalur Gemilang ini telah dilaksanakan bermula pada November 2023 melalui Kempen Kumpul Penutup Botol yang disertai oleh seluruh warga Kementerian. Pengumpulan penutup botol plastik ini bermanfaat untuk melestarikan sumber alam sekitar dan memulihara sumber bumi.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment