PUTRAJAYA, 19 Ogos 2024 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima lebih 50 isu, cadangan dan pandangan yang disuarakan para penjaja dalam Dialog Belanjawan KUSKOP 2025 bersama para pemimpin gabungan persatuan penjaja, di sini, hari ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara isu itu ialah berkaitan keperluan dan masalah yang dihadapi para penjaja dan peniaga kecil-kecilan termasuk peniaga pasar malam.
“Pimpinan penjaja telah membangkitkan banyak perkara bukan hanya terkait dengan cadangan belanjawan tetapi juga penambahbaikan inisiatif Kerajaan sedia ada serta isu-isu yang melibatkan Kementerian lain, Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Semua cadangan itu telahpun direkodkan untuk tindakan lanjut kementerian dan akan dimasukkan sebagai input kementerian dalam Belanjawan 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 KUSKOP bersama pimpinan gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan serta pengerusi-pengerusi di peringkat negeri, di sini, hari ini.
Turut bersama dalam sesi dialog belanjawan KUSKOP, para pegawai kanan KUSKOP dan ketua-ketua agensi KUSKOP iaitu Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Corp. Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Ewon turut menghargai kerjasama, kesatuan dan kebersamaan pimpinan yang diterajui oleh Dato Haji Zainal Abidin Dato Haji Abdul Majid, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) dan Dato Seri Rosli Sulaiman, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (G3PM) dalam dialog ini.
“Sesi libat urus ini adalah inisiatif Kementerian untuk mendapatkan pandangan dan cadangan para penjaja dan peniaga kecil-kecilan,” katanya.
Sebelum ini, Dialog Belanjawan 2025 KUSKOP melibatkan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan warga koperator telah diadakan pada 6 Ogos lalu di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.
Dalam dialog itu seramai 32 orang mewakili persatuan, syarikat, koperasi dan atas kapasiti sendiri telah menyatakan pelbagai pandangan dan cadangan serta ‘wishlist’ Belanjawan KUSKOP 2025.
Bagi wilayah Borneo, sesi dialog ini akan diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di ITCC Penampang pada 25 Ogos ini.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment