KUANTAN, 18 Ogos 2024 – Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu terus memainkan peranan melahirkan tenaga kerja yang cekap, berkemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negara serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan era semasa.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sabariah Saidan berkata, TVET memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah pengangguran belia dengan membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri.
“Ketika kita melangkah ke hadapan dengan projek-projek pelaburan dari dalam dan luar negeri Pahang seperti yang dirancang dalam Belanjawan Negeri Pahang 2024, graduan TVET akan menjadi tunjang utama dalam menjayakan inisiatif ini. Melalui usaha ini, kita beraspirasi untuk meningkatkan ekonomi negeri melepasi pertumbuhan pada tahun lepas, mencapai visi kesejahteraan bersama.
Institusi TVET di negeri Pahang kini perlu lebih bersedia untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan untuk projek-projek mega di negeri ini, seperti pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta peluasan Pelabuhan Kuantan.Projek infrastruktur ini pastinya memerlukan kepakaran graduan TVET kita, dan saya yakin mereka akan menyahut cabaran ini dengan cemerlang“, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Moh Festival POLYCC 2024, yang berlangsung di Teluk Cempedak, di sini.
Hadir sama adalah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), JPPKK, Haji Azirin Abdul Aziz, Timbalan Komander Rejimen 505 AW, Kem Force 136, Leftenan Kolonel Ahmad Zakhuan Yahya serta Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), selaku Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Pahang, Hisamudin Mohd Tamim.
Moh Festival POLYCC 2024 ini dianjurkan buat pertama kalinya oleh BAPP, JPPKK dan dikelolakan oleh POLYCC Zon Pahang. Objektif utama penganjuran adalah untuk memperkenalkan dan memperkasakan kemahiran TVET yang ditawarkan di POLYCC seluruh Malaysia.
Selain mengeratkan silaturahim dan jaringan warga POLYCC dengan komuniti dan agensi setempat, program ini juga turut menyediakan peluang aktiviti-aktiviti berupa khidmat masyarakat dan peningkatan pengetahuan serta kemahiran misalnya melalui penyertaan kursus-kursus pendek secara percuma.
Program yang berlangsung sejak Jumaat lalu turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang lain antaranya menukar minyak hitam motosikal secara percuma, pameran TVET daripada POLYCC Malaysia, pameran agensi, demonstrasi badan beruniform, persembahan pelajar POLYCC serta artis jemputan Usop Kopratasa dan Lakaa Idris, aktiviti larian, gerai jualan, laman kopi dan banyak lagi.
Hadiah cabutan bertuah turut disediakan kepada para pengunjung yang hadir.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment