Lebuh Jasin Selatan jimat masa, pacu ekonomi setempat
Oleh : Liana Sahabudin / MELAKA HARI INI
JASIN 19 Ogos – Pembukaan Lebuh Jasin Selatan sepanjang 4.17 kilometer mampu memperkukuh jaringan pengangkutan di Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rangkaian lebuh raya yang cekap dan sistematik itu sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Beliau berkata, kos pembinaan projek itu ditanggung Parkland Group sebanyak 84.46 peratus dan selebihnya mendapat kerjasama pihak Scientex.
“Terdapat tiga akses utama ke Lebuh Jasin Selatan dan Jalan Jasin Selatan-Bukit Kajan ini. Akses pertama adalah melalui Tol Jasin, akses kedua melalui kawasan Asam Kumbang Bemban dan akses ketiga teletak di kawasan Bandar Jasin Bestari.
“Lebuh raya ini dijangka dapat memendekkan jarak perjalanan dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Jasin ke Bandar Jasin sebanyak 11.1 kilometer dengan purata masa tujuh minit berbanding 30 minit sebelum ini.
“Terdapat satu lagi laluan dikenali sebagai Lebuh Jasin Selatan-Bukit Kajang sepanjang 1.81 kilometer, ia berjaya mengurangkan tempoh perjalanan dari Lebuh Raya PLUS Jasin ke Bandar Melaka dengan hanya 23 minit,” katanya.
Be the first to leave a comment